Wednesday, January 29, 2020


DARI PENGARANG
          Adat hidup manusia tidak terlepas dari menelan pahit ,manis dan mengecapi saat suka dan duka mengharungi liku-liku perjalanan hidup ini yang banyak mendewasakan. Setiap hari yang berlalu bagai menulis diari helaian demi helaian yang merakamkan kisah serta perasaan saya. Segala peristiwa mempunyai cerita dan nilai dalam kehidupan saya khususnya, malah saya berpendapat ianya boleh juga menjadi sumber inspirasi bagi insan lain.
         Jalan cerita antologi ini berlandaskan catatan luahan perasaan sepanjang perjalanan hidup seorang insan biasa dari zaman remaja sehinggalah usianya menjejak pertengahan 40an yang telah saya luahkan dalam bentuk puisi dan sajak yang lahir dari jiwa. terdapat sebanyak  47 buah sajak yang saya pautkan dalam antologi ini berdasarkan apa yang rasa dan yang dapat saya nukilkan  yang saya rasa bersesuaian dengan konsep penceritaan antologi ini. walaubagaimanapun tidak semua  hasil nukilan saya itu dapat saya pautkan di sini. 
          
        Segala hasi karya yang tertulis mempunyai cerita di sebaliknya. Sukalah saya kongsikan dalam buku ini untuk dijadikan kenangan dan panduan dalam menyusur kehidupan. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

          Tergerak hati saya untuk membukukan sebahagian puisi, sajak dan nukilan yang saya cipta sendiri ini kerana ingin menunjukkan bahawa ianya tidak sia-sia malah ia turut membuktikan bahawa minat menulis dan menjadi penulis  yang saya simpan sejak remaja diharapkan akan menjadi realiti.

          Tabiat saya yang gemar membaca semula semua hasil-hasil penulisan yang saya garap, umpama mengajak semula diri saya kembara ke waktu silam itu. Dari situlah saya mendapat kekuatan dan pengajaran untuk terus melangkah meneruskan sisa-sisa usia yang tinggal. Semuga impian saya untuk melihat karya ini menjadi tatapan khalayak akan menjadi satu kenyataan.

           Saya bahagikan penceritaan dalam antologi ini kepada beberapa segmen yang membawa kisah penceritaan yang berbeza bagi setiap segmen. Harapan saya agar penceritaan yang ingin saya sampaikan itu akan lebih mudah difahami oleh pembaca.












`1

SEGMEN 1

Bab ini menceritakan tentang perasaan penulis di awal-awal pembabitannya bagi menghasilkan sajak dan puisi. Penulis juga mengabadikan sajak yang mengenang cerita-cerita lama.

Tahun 1970an,aku disekolah rendah, waktu itu hanya murid dari darjah tiga hingga darjah enam sahaja yang dibenarkan untuk membaca dan meminjam buku di perpustakaan. Namun sebaik sahaja menduduki darjah empat, aku tidak melepaskan peluang untuk meminjam dan membaca buku dari perpustakaan pada setiap minggu. Dari situlah bermulanya timbul minat untuk membaca dan seterusnya aku tidak melepaskan peluang untuk membaca apa sahaja bahan bacaan yang aku jumpa di mana-mana. Maklum sahaja, waktu itu, kemudahan bahan bacaan agak terbatas di kampung-kampung khususnya bagi keluarga yang serba kekurangan.

Menjejakkan kaki ke tingkatan lima, aku ditempatkan dalam kelas sastera. Di situlah aku mengenali istilah dalam sastera, apa itu metafora, apa itu personifikasi, melankolik, aliterasi dan macam-macam lagi. Belajar mengupas sajak demi sajak dan puisi penyair negara, sungguh mengagumkan dan minat terhadap penulisan sastera dalam diriku semakin membara. Aku mula mencipta sendiri sajak-sajak menurut isi hati. Kebanyakan sajak-sajak itu aku tulis dalam muka surat  yang mempunyai ruang kosong pada buku antologi sajak yang kubaca, sambil menerapkan penggunaan istilah sastera yang telah dipelajari. Malangnya buku tersebut hangus terbakar bersama rumah bapaku di kampung.

Sajak di bawah ini merupakan luahan rasa hati aku tentang hasil nukilan dan tulisanku sewaktu menulis sajak. Ketidakyakinan aku untuk menulis begitu menyerlah dan jelas apatahlagi  jika kubandingkan dengan karya- karya penulis yang professional. Sajak " tintaku' dan "sajakku" antara yang terlahirr tatkala idea yang datang ku rasakan kurang menyengat.Manakala sajak “Longlai” kutulis tika ketiadaan idea untukku zahirkan dalam bentuk penulisan kreatif.


Tintaku

Tintaku terlena terlupa
Tenat termimpi terdampar
Tintaku terserong terasing
Terlelah terbelah terbuang
Tintaku terluah terdedah
Tergundah terkesima terserah
Tintaku terus terlena






2
Sajakku

sajakku tidak begitu puitis
sajakku belum lagi gramatis
sajakku seperti kaku
sajakku irama tiada lagu
Sajakku tidak berperi tiada berseri                               
sajakku gagal difahami sukar di mengerti

sajakku keliru meruntun kalbu
sajakku mendayu tiada berlagu
sajakku,
sajakku hanya untuk aku
sajakku bertatih tercatu-catu
sajakku ragu, gayat dan lesu
sajakku hanya mampu,
kupendam dalam diam.

Lukisan mimpi

Kulakarkan tinta
Pada garis-garis kanvas mimpi
Berus lukisan memori berlari sepi
Menyerlahkan lukisan indah
Sempurna di mata syahdu di hati
Bagai hidup dan menari
Membuai perasaan hati

Terkesima sekali
Dakwat lukisan cair ke bumi
Pucat mewarnai jemari kaki
Dinginnya menyelubungi diri
Luntur warna basahi kanvas
Lukisan ku lakar kini terjejas

Lukisan indah yang bertukar wajah
Sukar kucari punca pemula langkah
Gabungan warna –warni mencapah
Mencipta abstrak yang ingin ku sanggah

Sungguh aku bermimpi
Menjadi pelukis karya hati



3

Longlai

Langkah kaki bagai terhenti
Jemari kaku fikiran beku
Tiada lagi bahasa puitis
Tidak menjelma idea rasa
Perasaan umpama mati
Bisu dan kelu bicara di kalbu
Tidak seperti dulu semarak di hati
Bagai mencair semangat jiwa
Luluhnya raga
Seolah alam tiada erti
Lumpuhnya rasa
Seolah kalam tiada suara
Yang ada hanya titik
Yang terlihat hanya noktah
Yang terpamer cuma tandatanya
Yang entah bila kan berbicara semula….

Sewaktu zaman kanak-kanak sehingga  meningkat dewasa, kita bertemu dan berkenalan dengan ramai kawan yang tak kira usia dan di mana. Maklumlah jiwa kanak-kanak gemar berkawan. Begitu juga di saat aku membesar,aku pernah mengenali beberapa orang rakan sepermainan dan persekolahan yang memahat memori indah bersama-sama namun akhirnya terpisah dan tak lagi bersua saat menuju dewasa kerana pelbagai sebab. Ada yang berpindah dan ada yang menamatkan zaman persekolahan .Kuciptakan sajak "bertemu untuk berpisah" tatkala aku terkenangkan seorang kawan  yang pernah menjadi teman sepermainan suatu ketika dahulu. Malah boleh dikatakan ianya merupakan zaman cinta monyetku  bermula seawal memasuki usia remaja. Malangnya, selepas kami berpisah sewaktu di tingkatan tiga, kami tidak pernah bersua semula sehingga kini.

Bertemu untuk berpisah.

teman, suatu ketika dahulu
kita pernah bertemu,
kita sepermainan...
nakalmu, riangmu,menceriakan perjalanan hidupku,
teman...
waktu itu suaramu sering kurindu
mengalunkan azan berkumandag di surau
senyuman manismu secerah bulan purnama
seikhlas sanubarimu membungakan sukmaku
tatkala menyemai ikatan ukhwah kita
sopan tuturmu dan pekerti yang terpancar
sesuci perasaan ini tika itu.
4
teman...
secara tiba-tiba kita berada dilandasan yang berbeza
kian terasing dalam dua dunia
pandangan yang kian kelam
menjadikan kita terkapai-kapai mencari haluan
sendirian...
kini tiada lagi pernah berjumpa,
seolah kita tidak pernah bersua
gagal  membayang wajah dan rupa
kerana suatu waktu dan ketika itu
sekadar di zaman yg telah berlalu
dalam zaman kanak-kanakku
umpama mimpi yang hilang pabila kita terjaga
kita bertemu untuk berpisah.































5

SEGMEN  2

Bab ini melampirkan hasil garapan perasaan penulis tentang alam dan persekitaran dunia, namun begitu, tidak banyak sajak tentang alam dan persekitaran dunia yang dapat aku lampirkan di sini.

Persepsi dan terjemahanku sewaktu menulis sajak tentang dunia mungkin tidak sama dengan pendapat atau persepsi orang lain. Aku percaya setiap orang berhak untuk melahirkan pendapat dan persepsi masing-masing. Namun aku tetap berpendirian bahawa setiap sesuatu yang berlaku ada baik dan buruk yang terselindung. Sajakku "Duhai Ramadan" dan "Gema Aidilfitri" tidaklah seteliti penyajak hebat yang mengupas tentang Ramadan, namun aku berusaha memaknakan Ramadan dan  Aidilfitri dari sudut pandangan aku sendiri.

Begitu juga setiap pengalaman yang aku tempuhi adakalanya aku rakamkan dalam gambaran berbentuk puisi seperti setiap kali pengembaraan berkunjng ke satu-satu tempat contohnya seperti pengalamanku mengunjungi negeri Terengganu. Selain itu, aku suka menggambarkan kehidupan ini dengan sesuatu objek atau ciptaan Ilahi selain manusia seperti bunga , dunia dan sebagainya. Dalam sajak "Nasibmu kuntum", selain menggambarkan situasi bunga itu sendiri ianaya juga turut mewakili hidup seorang wanita.

Duhai Ramadan 

Duhai Ramadan
Engkaulah penghulu segala bulan
Bulan barakah bulan almubarak
Bulan keampunan
Bulan keberkatan 

Pada jantungmu Ramadan
Berdegup sejuta rahmat
Mengalirkan syafaat
Memadamkan maksiat

Pada wajahmu Ramadan
Terpamer senyuman kasih sayang ilahi
Menawarkan pahala berganda yang mengalirkannya 
ke sungai-sungaii syurgawi

Pada suaramu Ramadan,
terhias indah dengan merdunya alunan zikrullah
Bibir- bibir yang melafaz doa
Penawar kehausan insan yang istiqamah


6
Huluran tanganmu Ramadan
Memimpin insan ke arah kemenangan
Membawa manusia ke arah taqwa
Membuka pintu- pintu kebaikan
Menutup pintu-pintu kebatilan

Ramadan itu kala siangmu
Nur ilahi memancar syahdu
Sabar puasa menahan nafsu
Iftar dan sahur saling bertamu
Mendukung sunnah sepanjang waktu
Sufikan hati sucikan kalbu

Ramadan pada  malammu 
Tidak sesepi teratai teratai di tasik madu
Terawikh dan lailatul qadar menjadi
buruan ahlul jannah
Dirdirikan dalamnya tahajut dan taubah
Dalam sepertiga malam
Ada ijabah doa kala pintu syurga dibuka

Duhai Ramadan
Kau ditakuti oleh syaitan dan iblis
Kedatanganmu tak disukai lagi dibenci
Kerana mereka tak dapat menangkis
kaki tangannya akan dikunci

Ramadan al karim
Kehadiranmu dinanti
Oleh mereka yang mengerti
Yang mencari restu ilahi
Bekalan untuk hari yang hakiki

Duhai Ramadan
Pergimu ditangisi
Akan hilanglah bulan yang penuh bakti
Kala Menjelangnya aidilfitri
Semuga semangatmu tetap di hati.







7
Gema takbir Aidilfitri

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..
Walillahilhamd
Takbir yg bergema
Mengoncang sayu di sanubari
Menggamit insan mensyukuri nikmat Ilahi
Membesarkan nama-Mu Ya Robbi
Bersulam shahdu nan rindu
Pada ramadan yang berlalu
Aidil fitri
Bulan persaudaraan bulan kemenangan
Memanggil pulang saudara perantau
Merapat ukhwah yang tersulam
Meriahnya tradisi saling kunjungi
Bermaafan setulus hati
Leburkan hasad dan dengki
Syawal nan indah
Terkandung rahmah
Puasa sunat barokah
Mengajar erti istikomah
Aidil fitri merai kemenangan
Meriahnya sambutan dengan hidangan makanan
Tak perlunya membazir menjadi teman syaitan
Kerana yang tidak berkemampuan
Hanya mampu memandang
Gema takbir yang menyusup jiwa
Pada memtari awal pagi Aidilfitri
Biarkan terus berseri
Menyinari hati dan semangat diri
Mensyukuri rahmat Ilahi

Beginilah dengan sajak "Nasibmu Kuntum", ditulis tatkala kuselusuri diari hidup sekuntum bunga yang dapat diibaratkan sebagai kehidupan seorang wanita dari sudut pandangan hatiku.Kuntum yang sinonim lahirnya dari sepohon pokok lalu berputik, berkembang wangi dengan pujaan dan akhirnya melayu sendirian.








8

Nasibmu kuntum

Duhai kuntum 
Ada sunyi yang menemani rintihmu
Pabila tersingkap jendela lama
Mengimbau suka duka
Pada Saat-saat bahagia menabur jasa
Mengharumi kamar-kamar mimpi sang peria
Menghidang madu penghilang dahaga
Meruah dengan buah
Membangun dengan dedaun 
Malah melakar dunia dengan ceria seri warnamu
Jauh di dasar hati
Sayu menguasai diri
Tatkala merenung dirimu
Duhai kuntum
Harummu tidak lagi sesemerbak mawar yang baru berkembang
Pudar warnamu sesemerah senja yang mengesot meninggalkan siang
Kontang kelopakmu nan ketandusan madu
Sesepi hatimu 
dari dengungan sayap kumbang
Kini kau mengering sendiri
Menanti gugurnya kudupmu satu persatu ke bumi
Setelah tangkaimu lelah
Dari genggamannya yang kian goyah. 


Erti hujan

Titisanmu sesejuk kali di dasar hati
Gemersik deruanmu bagai rintihan uda yang kerinduan
Deraianmu hujan
Menjadi penawar ketandusan
Tempiasmu merenjis sukma
Dingin yang kau bawa
Penyejuk hati dara
Beriringan hembusan bayu
Menyegar lelah perantau
Hujan di senja hari
Menenun perasaan
Mengimbau ranting usia
Yang dimamah cuaca



9

Pengalaman mengunjungi negeri di Pantai Timur iaitu ke Terengganu telah sempat kuabadikan dalam sebuah puisi.Saat terindah itu sungguh bermakkna kerana kunjungan yang singkat itu membuatkan aku sangat teruja tentang negeri itu.

Perjalananku ke Terengganu.

Perjalananku di Terengganu
Ku disambut dengan hamparan
kehijauan seluas banjaran
Ku didakap dengan kesegaran
gerimis yang setia mengiringi
Dirai dengan senyuman keikhlasan
yang terukir di bibir dan hati
Dijamu dengan sapaan mesra dan budi bahasa
Aku terkesima bilamana dijamu
aneka rasa lazat yang menyelera
Hidangan berbeza yang tiada tara, 
tiada dimana-mana
Aku teruja berbelanja dengan para peniaga
Ramah mesra sejelita rupa
Perjalananku di Terengganu
Menggamit rasa rindu
Kepulanganku dari Terengganu dicuit rasa pilu..
Hanya takdir dan waktu jadi penentu
Bilamana tautan hati jadi satu
Menanti azali berjodohan kembali.

Dalam menyusuri perjalanan hidup ini,, seperti insan lain, aku turut mengikuti perkembangan semasa negara dan dunia, aku ikut merasai perubahan dan peristiwa sekeliing. Ada sajak-sajak yang kutulis menjelaskan pandangan dan pendirianku tentang kehidupan ini. Ada juga sajak yang kucipta mengikut isu dan cerita semasa seperti peristiwa kehilangan MH370, kes penderaan anak OKU, dan tragedi malang pesawat MH17.

Monolog sebuah Dunia.

Sesak dada bumi, di Setiap lohong dan lorong penuh debu
Asap kepul terbit memenuhi setiap ruang. 
Retak tulang bumi bertambah rapuh 
Penyokong dan pendukung direbahkan.
Mengesot langkah bumi
mengerah kudrat meneruskan hayat. 
Seusia dunia. 


10
Pasak bumi telahpun rata, 
botak, gondol, licin,
Urat nadi tidak lagi lancar, 
malah tercemar, tersumbat dan tersekat
Hirupan udaramu tersengkang
di terowong dan lombong pelusuk benua
Saljimu cair, gurunmu membeku,
dataran dilimpahi bah.
Segalanya cacamarba. 
Pening otak bumi memikirkan
Orang bijak pandai meneraju dunia
Menuju kemusnahan dengan kerakusan
Melahap setiap isi perut bumi
Malah hampir pupus segala akar dan umbi
Mengorek, meneroka, mencantas, 
menusuk, menggerudi, malah terus melapah.
Tanpa peduli tinggalan untuk zuriat yang di belakang,
tanpa rasa bersalah. 
Tanpa berterima kasih.
Apalah daya sang bumi 
Sekadar melihat sekadar mengharap
Anak dunia menyeka cemar
Mencipta damai.

Sajak "Dia Lola" ini kugarap tatkala menyelami perasaan seorang ibu dan insan yang bersalah serta dipersalahkan kerana membuat sesuatu yang di luar keperimanusiaan. Aku cuba berada dalam situasi diri Lola tatkala satu dunia mengutuk atas perbuatannya sehingga melontarkan kata nista dan cacian yang keluar dari perasaan marah manusia sejagat. Sajak ini bukan bermaksud aku menyebelahi sesiapa, namun sebenarnya sesetengah masyarakat kita gemar menghukum dengan cara sendiri.Mungkin pabila Lola menyedari akan kesilapan tindakannya, tentulah dia malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Aku cuba menyelami perasaan insan yang terasa dirinya dibuang dan tidak diterima.

Dia Lola   (yang pernah loklak)

Dia masih berteleku di situ
Hiba mengenang sikap manusia
tercari-cari dimana kewarasan
Dia terus terpingga
Sudah tiadakah lagi keampunan
Seolah manusia itu yang menjatuhkan hukuman




11
Dia mungkin pernah melakukan kesilapan
Kehilangan akal meneruskan hidup
Kerna sekelilingnya manusia yang berpura
Memuja pada indah dunia
Memuji pada yang berharta
Lalu dia hanyut bersama- sama mereka
Sehingga dia tega membiarkan hatinya buta

Kini setelah dunia menyedari
Masyarakat mula taburi simpati
Namun bersilih ganti dengan maki
Dia terus keliru
Tak tahu arah dituju
Pelbagai simpang di hadapan
Sehingga sukar buat keputusan

Wahai manusia sekalian
Benarkah kalian ikhlas menghulur bantuan
Mengapa nista kau jadikan bekalan
Seolah tiada mungkin beri peluang
Berkokok  kalian seolah pejuang
Lidahmu menjatuhkan hukuman
bagai pedang

Tak sedarkah kalian juga serupa
Sama seperti dia yang hilang punca
Sedangkan nabi maafkan umat
Tinggalkan dosa di belakang
Hadapi hadapan yang jauh terbentang 
Usahlah dibaca dan dikira dosa silam
Jadikan pedoman buat pertimbangan
Tak perlu diselak salahnya orang
Baiklah hulurkan tangan 
Berjalanlah segandingan
Barulah jelas siapa kawan dan siapa lawan. 

Tragedi kehilangan MH 370 menjadi satu peristiwa pahit dalam sejarah penerbangam MAS.Kehilangannya yang misteri dan tidak dapat dikesan sehingga kini sentiasa menjadi pertanyaan dan penantian kepada keluarga mangsa. Antara sajak yang kuabadikan untuk mengenang tragedi itu ialah “Takdir…..(MH370)” dan “Salamku buatmu”,





12
Takdir.................(MH 370.)

Jika itu sudah takdir-Mu
Ia tetap kan berlaku
Jika itu yang tersurat
Semua yang berlaku tak pernah lambat
Walau sebijak mana manusia
Hatta pintar seantero dunia
Namun kebijaksanaan-Nya
Mengatasi segalanya

Pasti ada hikmah yang tersembunyi
Tentu ada rahsia yang terperi
Menduga insan dengan musibah
Sejauh mana akal dibedah
Cukupkah dengan mendabik dada
Mencipta reka tercanggih dunia
Membuai manusia hingga lupa
Terleka jika kita ada Pencipta?

Jika itu sudah takdirnya
Yang terjadi tak perlu kesali
Kembalilah menginsafi diri
Menggali kelemahan sendiri
Sambil tawakkal teruskan misi
Iringi doa mohon diberkati

Buang yang keruh ambil yang jernih
Baik jadikan pedoman
Buruk buat sempadan
Yang hidup diteruskan
Yang pergi doa dikirimkan
Walau tanpa kubur dan nesan
Namun di hati rapi tertanam.

Salamku buatmu

Sesetia tiupan bayu 
Menggemalaikan lambaian dedaun di pepohonan
Setiap hari....

Sedingin embunan di dini hari
Menyegarkan kuntuman di taman seri
Setiap pagi....

13

Segagah ombak merayu pantai
Menjengah persisiran 
biarpun dalam waktu surutmu

Setekun unggas mengejar kekumbang dan serangga
Buat alas kantung demi kemandiriannya

Setaat mentari dan bulan
Tetap di persada orbit dan cakerawala
Demi kelangsungan dunia....

Begitulah jiwa ini
Andai kau mengerti
Itulah rasa hati
Perumpaan kuberi

Ada rindu tidak terperi
Ada sepi yang tidak terjejaki

Ingatan tulus kan tetap bersemi
Yang kan tetap ku kirimi
Mengiringi disetiap denyut nadi
Yang kan ku kenangi 
Dalam jaga mahupun mimpi

Kan kuiringi salam ini buatmu
Melalui bayu... Pada beburung,
Melalui flora dan fauna
Pada pawana dan mega

Di setiap masa dan ketika
Dalam setiap doaku
Dalam setiap senduku
Ada salam buatmu....setiap waktu


Biarpun masa terus berlari....
Tanda ingatan takkan terhenti.
Terimalah salam sejahtera dariku...

##Doa dan salamku buat warga MH370 sempena hari yang ke 37 kehilangannya



14
Satu lagi tragedi nasib malang yang menimpa pesawat MAS MH17 yang telah mengorbankan kesemua penumpang di dalamnya akibat ditembak sewaktu penerbangan pulang ke Malaysia telah melahirkan sajak "Tragedi yang berulang"


Tragedi yang berulang

Tragedi yang terjadi
Kala menginjak dinihari
Perihal pesawat lagi
Terkedu seluruh duniawi
Merunduk meratapi

Bebayang tragedi  silam
seakan terus berulang 
Mengaruk seluruh alam 
Mengutuk dan menghentam
Kewarasan manusia kian kelam

Tragedi yang berulang
Kehilangan nyawa tersayang
Seakan satu permainan
Menjadi gurauan petualang
Demi kepentingan dan kepuasan
Melerai kesumat terpendam
Angkara sengketa dan dendam

Tragedi yang terjadi
Penuh ilusi dan simpati
Kala jelangnya Aidilfitri
Meruntun hiba di hati


Sebuah lagi peristiwa dunia yang hampir belum nampak kesudahannya adalah pencerobohan tentera Israel ke atas bumi Palastine. Seringkalinya pihak zionis mencari kesempatan dengan keadaan umat islam sedang berpuasa di bulan Ramadhan untuk mereka menyerang dan melancarkan peperangan. Namun sebagai umat yang percaya kepada kuasa Allah, mereka redha dengan ujian tersebut sambil nekad berjuang demi Islam tidak kira saat dan ketikanya.







15
Langit Ramadan di bumi Palastine

Sinonimnya langit Ramadan di bumi Palastine
Yang terlihat...
Meriah diterangi cahaya api
Dari lontaran tangan- tangan syaitan
Mewakili iblis yang terikat
Namun jiwa iblis itu terus bernyawa
Malah semakin menggila di bulan Ramadan
Kian rakus menghirup darah- darah
Shuhada
Seolah mereka selama ini berpuasa
Lalu berpesta menyambut raya
Dengan hidangan jiwa manusia!!.
Acap kalinya langit Ramadan di bumi palastin
Yang terpampang...
Ia Menurunkan butir-butir bencana
Membanjiri pelusuk tanah gersang
Dengan haloba bagai rasaksa
Yang kebuluran nyawa manusia
Tak peduli siapa dan mengapa
Malah mengambil kesempatan atas kesempitan

Sering kalinya langit Ramadan di bumi Palastine
Yang tersurat....
Ia dihiasi oleh awan asap dan debu gerhana
Meredupi  hidup dan mimpi para syuhadah
Membanjirinya dengan hujan air mata
Malah menurunkan taufan peluru buatan Israil dan sekutu

Entah mengapa langit Ramadan di bumi Palastine
Yang kulihat...
Tuhan menurunkan limpah dan rahmat
Menggandakan pahala dan laba
Secara percuma kepada pelusuk warganya 
yang telah syahid dan yang telah teraniaya
Kerana dizalimi
Kerana diuji dengan berani
Kerana dikejami tanpa ihsani
Kerana kesabarannya 
Kerana ketabahannya




16

Entah mengapa langit Ramadan di bumi Palastine
Yang tersirat....
Tuhan beri peringat
Pada seluruh umat
Agar terus bersepakat
Mencari fakta mencari format
Mengakhiri kekejaman yahudi laknat!!..

Selain mengikuti perkembangan semasa dunia dalam menulis sajak-sajak, tidak kulupa juga untuk menulis tentang tanah airku sendiri. “Sajak Tanah Yang Gersang” ku lahirkan di saat musim kemerdekaan tiba.Bgitu juga dengan sajak “ Antonim Perjuangan”  dan “Apa Peduli”.

Tanah yang gersang

Tanah ini hanya sekadar tanah gersang
Tiada yang istimewa
Tiada yang perlu dibangga
Kerana penghuninya tidak lagi boleh berkata-kata

Tanah ini kini milik bersama
Malah sebahagiannya sudah digadai
Dari air yang mengalir, 
Malah pasir yang kian menyisih
Bahkan hasil titik peluh penghuninya
Bukan lagi milik peribadi
Setelah semuanya dijual beli

Tanah ini kian menyepi
Setelah penghuninya terkapai-kapai
Mencari erti merdeka yang digapai
Di celahan runtuhan jati diri
Yang tidak lagi mengisi benak sanubari

Tanah ini hanya sekadar nama
Yang kini dikongsi bersama
Kita sekadar melihat
Sehingga bila kan terus melarat
Yang berkuasa dapat ganda berlipat
Yang tiada menjajau mencari ruang dan tempat
Kerana tanah ini bukan lagi istimewa
Malah kian gondol dan rata.


            17

Antonim perjuangan

Kelmarin dulu 
Nenek moyang berjuang
Menghunus keris dan pedang
Kerna mendaulatkan pusaka dan bangsa
Dari penjajah yang memerah urat darah  

Kelmarin dulu 
Nenek moyang berperang
Mengerah kudrat dan keringat
Saling bekerjasama
Mengusir pencuri hasil pribumi
Demi menegakkan maruah
Untuk diwarisi oleh anak cucu

Perjuangan kelmarin dulu
Tak sama perjuangan kini 
Yang banyak mementingkan kroni
Berjuang di bawah bendera politik
Halal haram bukan lagi kepentingan
Wang ringgit menghalalkan cara
Tanpa sedari
Bangsa merempat di bumi sendiri

Perjuangan kelmarin dulu
Menjadi antonim perjuangan kini

Apa peduli

Anak muda tak peduli makna merdeka
Untuk apa?..buat siapa?..
Mengusung bendera sekadar beraksi
Bermegah tak fahami erti peri
Bergembira menyambutnya 
Sekadar merai cuti dan joli
Menatap bunga api di dinihari
Lantas berembun hingga pagi
Esoknya buka mata
Setelah mentari setengah hari
Entah apa erti merdeka?
Tak peduli 
Bukan juga urusan peribadi
Mana jati diri?

18

Nun di longkang yang digali sendiri
Anak muda peduli apa erti merdeka?
Sekadar satu pesta
Satu budaya
Salah siapa?..


Aku tidak lupa mencuba juga menyelami perasaan dan pengalaman seseorang sekiranya ditimpa sesuatu yang baik mahupun yang malang. Sajak yang cuba menyelami kesakitan yang ditanggung oleh mereka yang mengalami cagu cuba ku gambarkan situasi mereka sedayaku.Sajak ”Cagu” kucipta pabila kumembayangkan deritanya seseorang yang terkena cagu. Kesakitan yang dialami sukar dijelaskan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah mengalami masalah cagu sahaja yang dapat merasa bagaimana situasi perasaan mereka.Begitu juga dengan sajak “Nasi Ambeng” yang ku nukilkan sewaktu menukmati juadah tersebut dimana suatu waktu dahulu menu itu hanya diperolehi pabila terdapat keramaian di majlis orang-orang jawa khasnya.

Cagu

Pedihnya derita bagai disiat belati
Saat ia tersentuh sipi
Marah yang hadir tidak tahu berhenti
Sedih di jiwa berteman duka
Gelisah bila pejam mata
Resah menerpa setiap masa
Aduhh!... Sakitnya hati
Menahan siksa
Simpati pun takkan diperduli
Hanya mahu memburu ketenangaan
Saat begini menghargai
Keselesaan yang pernah dikecapi
Oh cagu!...
Menangis tak berlagu
Ngilu dan pilu beradu
Sakit dan perit bertamu
walau kecil atau sedikit
tapi ia tetap sakit!







19
Nasi Ambeng

Hidangan ini
Dulu merupakan hidangan tradisi
Istimewa dalam majlis kenduri
Jarang jumpa sering dirindui
Kerana uniknya rencah resepi

Hidangnya atas daun pisang
Nasi di tengah dikelilingi lauk pauk meriah
Wajib ada sambal goreng jawa, berteman mee goreng juga
Ada serunding kelapa
Lauk wajibnya ayam semur
Yang uniknya ditambah rempeyek
Inilah makanan tradisi orang jawa

Atas talam makan berempat 
Sambil bersembang tangan menyuap
Lauk pauk adil dibahagi rata
Jika tak habis bungkuslah pula
Buat imbuhan orang di rumah

Kini menu ini jadi perniagaan
Kembali dalam masyarakat sekadar ikutan
Tak kira masa boleh disediakan
Masih tetap menjadi pujaan.

Menu yang terkini banyak diubah
ikutkan selera pelbagai ditambah
Bermacam-macam pula citarasa
Menambat hati orang yang lapar mata
Ada sayur dan ayam goreng
Ada yg suka letak ikan masin
Kerabu sayur penambah selera
Boleh dijumpa di bazar bulan puasa

Inilah cerita menu orang kampung
Menu dari tanah seberang
Ia di gelar Nasi Ambeng
Ada yang nakal disebut Ambong!..





20
SEGMEN  3

Bab ini yang penulis rasakan pailng banyak puisi yang ditulis kerana ia bukan sahaja merakamkan segala suka duka tentang rasa hati, malah ianya juga mengungkapkan mengennai perasaan semulajadi manusia yang ingin dirinya dicintai , dirindui dan disayangi.

Memasuki dunia remaja amat indah,alam persekolahan sewaktu itu terasa manis. Aku seperti remaja lain turut terjerat dalam dunia percintaan di saat- saat usiaku di situasi "Si Manis Tujuh Belas".  Waktu itu dunia kurasa sungguh bermakna dan perasaan " pelik " yang menyelubungi jiwa itu kurasakan sungguh indah. Mengenali dan merindui seseorang yang dianggap kekasih begitu membuai perasaan dan hidup tika itu amat bermakna dengan kehadiran kekasih hati. Sajak “Kau Kekasihku” bagai memperlihatkan kobaran perasaan yang kualami tika itu. 

Kau kekasihku

Sinar matamu bagai api yang membakar hutan berahi
Senyum bibirmu bagai sinar mentari menerangi hati ini
Lembut bicaramu bagai air penghilang dahaga kerinduan
Manis wajahmu bagai embun yang membasahi dedaun hati
Derai tawamu bagai tasik yang mengkocak rasa bahagia
Tulus kasihmu bagai kelembutan bayu yang menyapa hati ini
Renunganmu bagai haba yang mencairkan jiwa
Bisikanmu bagai salju yang mendinginkan kalbu
Keikhlasanmu bagai mengutus rindu pengganti diri
Kejujuranmu bagai bah yang melimpahi kemarau cita
Dan.....Kehadiranmu bagai mimpi di alam realiti
Kini.....kau... bagai kekasihku

Puisi luahan perasaan sewaktu bercinta adalah puisi yag paling banyak ku tulis memandangkan itulah antara satu cara bagi diriku untuk meluahkan perasaan selain bercerita tentang apa yang ku rasa. Koleksi tulisanku menyatakan tentang kerinduan, tentang sepi dan tentang kehilangan. Antara puisi tersebut adalah seperti berikut;

Merindu
Biarkan aku terus merindumu
Selagi ada denyut nadi ini
Rinduku takkan jemu
Selagi ada getar di hati
Rinduku takkan berlalu
Biarlan aku terus merindu
Kerna aku tahu kau tahu
Biarpun jasadmu beribu batu
Ingatan padamu telah menyatu
Perasaan rindu menjadi tugu
Biarlah aku terus merindu
21
Mengenangmu dalam sepiku
Bersama kenangan yang setia bertamu
Menjadi ubat penawar kalbu
Kerna ku tahu kau juga sepertiku
Kekal merindu dalam doamu

Jejak kita

Jejak-jejak yang telah kita lalui
Semuanya dipenuhi warna pelangi
Menghiasi latar hati
Menceriakan pepohonan di taman Firdausi
Bernyanyi girang bebunga
Diiringi rerama yang riang menari
Melafazkan irama cinta sejati
Kekasih…
Laluan memori yang telah kita tempuhi
Meninggalkan parut yang mendalam
Bertapak di kalbu berbekas di hati
Menjadi tadahan embun di dinihari
Penghilang dahaga unggas di rimba
Menyejuk dan menyegarkan perasaan kita

Sajak 'ku biarkan” merupakan gambaran perasaanku tatkala kukenangi makna kehadiran seseorang itu dalam hidup kita.Aku suka membiarkan perasaan itu terus subur di sanubari.

Kubiarkan

Kubiarkan benih kasih ini bercantum menjadi satu
Kubiarkan ianya hidup subur di taman hati
Kubajai dengan kasih sayang
Kuelusi dengan rindu nan syahdu
Kubiarkan benih cinta ini membesar
Mekarnya mewarnai pelangi jiwa
Harumnya semerbak puisi nan puitis
Ranumnya semarak api membakar sukma
Kubiarkan...
Kubiarkan pepohon sayangku bercambah berbunga dan berbuah
Namun kubiarkan buahnya gugur satu persatu
Kubiarkan tanpa kusentuh
Kubiarkan tanpa kurasa
kubiarkan tidak kucicip
Kubiarkan.....


22
Kubiarkan tumbuhan cinta ini
Melata merimbun mencanak
Menerjah merebut sinar cahaya
Meneruskan sisa hayatnya sendiri
Bergelut sesama sendiri
Mencari sinar berahi
Kubiarkan...

Kesepian jelas terasa saat bersendiri dan merindui kehadiran sang kekasih. Sepi dan rindu memang tidak dapat dipisahkan. Ketika gelora cinta memuncak, kecelaruan perasaan sukar dibedung. Saat itu telah kutuliskan sajak yang menggambarkan perasaanku tika itu.

Dihimpit sepi

Sesepi buana tanpa kicau unggas
Sekelam hari tanpa sinar sang suria
Sehiba bintang tak bertemankan bulan
Sehening bumi dijauhi cakrawala
Sekosong sudut yang kehilangan lukisan penyeri ruang
Begitulah perasaan yang ditimpa pelangi
Berteman warna ilusi
Biarlah berkurun silih berganti
Memori silam berkubur di hati.

Ada waktunya dalam keadaan tertentu, rasa rindu terhadap seseorang sangat kuat terasa sehinggakan dihimpit sayu dan pilu. waktu itu, tiada siapa yang dapat mendengar atau memahami perasaan itu. Maka terlahirlah “menangislah” dan "kala rindu menjerit".

Menangislah

Menangislah duhai hati
Menangislah...
Keluarkan keluhan hatimu
Menangislah..
Biar mudik resahmu dalam aliran sendu
Menangislah duhai mata
Keluarkan mutiara duka
Biar bergenang di birai kaca
Menangislah..
Menangislah duhai sukma
Alirkan gelisahmu
Hanyutkan pilumu
Jauh dari danau derita
Menangislah..
Kosongkan jiwamu 
23
Dari sengsara sepi
Biar kelak beralun ombak syahdu
Melegakan riak-riak rindu
Menangislah...
Andai dengan itu engkau tenang
Serahkan jiwamu
Mengadu padaNya
Kerana Dia yang mengerti segalanya.

Suka duka bercinta tidak lari dari menduga, ada waktunya hubungan cintaku diuji dengan kepercayaan yang goyah. Ada pula kesetiaan pasangan turut diuji. Jika dugaan itu menyakitkan dan menyiksakan, pelbagai caraku guna bagi memujuk hati ini. Adakala, perpisahan seolah jalan yang terbaik. Adakalanya aku berbicara hanya pada  Dia yang mengetahui mengapa semua ini terjadi.Ada waktunya juga hati orang bercinta sering tertanya-tanya tentang kepastian dan hala tuju perasaan. Semuanya aku gambarkan dalam puisi- puisi “Kumohon izin-Mu”, “Adakah dia mnantiku”. Kuluahkan tentang rasa cinta yang tidak kesampaian atau terhalang lantaran manusia hanya mampu merancang namun ketentuan takdir itu Allah yang menentukan di akhirnya maka terhasilah puisi “Ku sekadar melagukan”, “Mencari jawapan” dan ” Cinta tanpa bersaksi”.

Kumohon Izin-Mu

Tuhanku
Hapuskanlah rindu ini
Pada dirinya
Setelah kubasuhi dengan air mata 
Kaukikiskanlah ingatan ini
Dari menyebut namanya
Setelah hati lelah dengan garis luka
Tuhanku
Bunuhkan cinta ini
Setelah tumbuhnya di taman khuldi
Biarkan aku bernafas lega
Buangkan titik hitam dan noda
Campakkan madu bersalut nestapa yang menyamari neraka bak bayang syurga!..
Tuhanku
Pimpinlah aku yang tiada bermaya
Setelah permisi penghuni sukma kuusir pergi 
Dan dengan izin-Mu 
Usah pernah dia kembali...
Tuhanku
Kumohon
Izinkan aku kembali pada-Mu...


24

Adakah dia menantiku

Belaian bayu dirambutku
Membisik seolah desah nafasmu
Lalu terbuka kedip mata ini
Mencari kelibatmu dalam mimpi
Atau aku yang terpedaya
Pada bicara hati yang rahsia
Tatkala sunyi malam dijerkah bayangmu
Sepi hatiku memacu rasa
Menanti harapan pada hari- hari 
yang enggan berbunyi
Sedang jemariku meneruskan menganyam bilah rindu
Sambil menguak jendela lalu
Adakah dia menantiku?

Kusekadar  melagukan

Saban waktu 
lagu cintaku mendayu
Meresapi sukma
Menembusi nurani
Berselang lagu rindu nan syahdu
Mendayu dan merayu
Dikala hening dingin malam
Setiap detik bergema
Melodi sayu sepi
Membelai kenangan 
mengalunkan irama sendu
Merintih hati merindu
Namun aku hanya layak berlagu
Berdendang dan berdondang 
Saat kala sunyi sendiri
Kenyataannya cinta yang tiada kesampaian
Tiada apa terdaya
Umpama kiambang  
Menghijau menyejuk mata 
Namun akar tidak jejak  
Seringnya aku berlagu 
Irama cinta kasih
Luahan suara rindu
Untuk membujuk hati 
Memanis mimpi.

25
Mencari jawapan

Aku masih merayau- rayau
Umpama mimpi terngigau- ngigau
Mencari tebing yang tak terjangkau
Terasa diri terawang sasau

Mimpi ku kejar tak kesampaian
Siang yang datang dilindung awan
Malam yang jelang tidak berteman
Sunyi menyapa sendu tangisan

Inginku gapai bintang yang terang
Jariku hangus disambar petir
Inginku capai kunang yang terbang
Kakiku jerlus dimamah getir

Pahitnya perit tetap kutelan
Manisnya sedikit tetap ku kenang
Sakitnya terguris tiada persefahaman
Ketentuan takdir padaku yang malang

Langkah longlai kucari daratan
Hiba kurasa langkahku perlahan
Alangkah sedih kemana taulan
Terkulailah aku tanpa jawapan


Cinta tanpa bersaksi

Perlukah aku berhiba
Pada percintaan yang tak sampai ke mana
Bagai angan memetik kejora
Sekadar lontaran di bibir sahaja

Haruskah aku kesali
Pada ikatan perasaan tanpa bertali
Jauh panggang untuk bersaksi
Malah mimpi kita saling melukai
Sembunyi hati nan menangisi

Adakah kita kan terus begini
Seperti pungguk yang lali 
Setia menanti purnama sepi
Tanpa jemu mengulangi puisi
26

Menelaah janji pada diri sendiri
Mengukir memori tersendiri
Mengganti akad yang terkunci

Berbaloikah cinta yang tiada bersaksi?

Bagaimanapun kenangan manis yang tercipta kala berdua tetap menggoda jiwa, kenangan yang terpahat sukar untuk dilupakan. Kenangan-kenangan yang terpatri kukuh itu membuatkan fikiranku adakalanya leka menyusuri memori lama. Dengan itu terhasillah puisi "menjengah memori" kala kunjungan ke tempat-tempat yang merakam detik bersejarah tersebut ku lawati semula.

Menjengah memori
Saat kuselusuri jalan-jalam silam 
Menerpa jelas di mata memori lama
Dari satu persinggahan  ke satu persinggahan
Dari satu kenangan ke satu kenangan
Di situ ada duka yang tercalit 
Dibalik memori indah
Di situ ada cinta yang terpalit
Dibalik doa dan sumpah
Di situ dua hati pernah menyatu
Bersaksi awan dan lautan biru
Kini
Kan kutinggalkan jalan-jalan memori 
Biar jauh biar kabur dari jendela hati
Bagai kabus melatari mimpi
Kian hilang di usap bayu sepi 
Makin jauh desa kenangan kan kutinggalkan
Makin ketat memori itu terikat
Kian sayup lambaian kulupakan
Makin kerap mimpiku melekat
Kusedari jalan yang kuselusuri
Biar tiada lagi berpenghuni
Namun keindahannya kekal sebati. 
Kan kuteruskan perjalanan pulang
Meninggalkan kenangan semalam
Biarpun hanya menjengah memori
Ingatan di hati rupanya belum mati. 





27
Bila bersendirian, kupujuk diri sendiri agar terus mencari bahagia dengan caraku sendiri. 

Mencari bahagia
Mencari bahagia
Dicelahan rumput kenangan
Dilingkari akar egois 
Dalam taburan kelopak jemu 
Bahagia yang hilang
Perlu dicari
Perlu digali
Mungkinkah masih boleh kutemui
Dalam runtuhan perasaan
Dalam kecamukan jiwa raga
































28
SEGMEN  4

Bab ini bercerita mengenai konflik diri penulis dengan kehidupannya yang berhadapan dengan manusia di sekelilingnya dan juga perkara-perkara yang melibatkan kerjayanya.

Kadangkala aku celaru dan keliru. Aku marahkan diriku yang tidak kuat untuk hidup sendirian tanpa teman untuk bercerita dan meluah rasa... Aku celaru..sehinggakan aku terasa bagai mahu memarahkan pada diriku sendiri namun dalam masa yang sama aku masih terus memasang harapan...Kekeliruan itu telah melahirkan “maafkan diriku”, “maafkan aku” dan“Resah”. Begitu juga dengan sajak “Seorang aku” dan “Tumpahnya pena terakhir” berkaitan dengan selaman perasaan hasil pengalamanku dalam kerjaya. Malah dalam berkawan juga terdapat selisih faham dan rajuk yang sementara dan mematangkan lagi diri manusia.

Marahkan diriku

Aku bungkam
Aku keliru
Aku marah
Tp pada diriku sendiri
Marah kerana aku gagal mengawal hati
Keliru kerana aku mungkir janji
Bungkam kerana masih mengulangi kesilapan lama
Aku sedih
Aku kecewa 
Aku derita
Kecewa kerana impian bukan nyata
Derita kerana berdosa
Sedih tidak berdaya lari dari masalah sendiri
Aku marah kerana aku marahkan diriku sendiri. 

Maafkan aku

Kekeliruan ini membelenggu
Kata hati yang di persimpangan
Sumpah setia yang kuhancurkan
Tandatanya diri kian berulang
Maafkan aku
Yang tewas pada suara hati
Mungkin cair dalam jiwa sepi 
menggadai harga diri sendiri
Terlupa pada janji yang pernah terpatri



29

Resah

Ada resah yang tak terluah
Bagai mutiara yang tidak termuntah
Ada gelisah yang meredam gundah
Umpama rentak yng tak sudah
Bila sepi melayan hiba
Maka pena menadah rasa
Tika hati tiada teman bicaca
Hanya bisikan doa memanjat Azawajalla
Bisu bibir bersalut resah
Teleku hati besadur gelisah
Gundah berbalut gulana
Hampa disapa pawana

Kerana aku seorang pendosa

Aku  tak layak berkata-kata
Hanya kerana aku seorang pendosa
Salahkah aku memberi idea
Hingga semua berpaling muka
Aku tahu aku pendosa
Bukan bermakna aku tidak mampu bersuara
Kerana hanya aku seorang pendosa 
Dipandang siapa yang berkata- kata
Bukan apa yang kukata
Semata- mata kerana aku pendosa
Namun aku bukanlah pendusta

Tidak dapat lari dari menempuh masalah peribadi sebagai orang yang berkerjaya, masalah komunikasi antara orang atasan dan orang bawahan, malah berpengalaman berada di bawah pentadbir-pentadbir yang pelbagai ragam dan gaya, aku coretkan pengalaman pahit bersama mereka. Semuanya lontaran kata-kata dari sudut hatiku mengenai pemimpin . Benarlah bahawa peminpin zalim pemimpin yang ingin kita sanggah.

Kerana kuasa

Pedihnya d hati tak siapa yg mengerti
Sakitnya mencucuk ke jemala jiwa
Tika diri bagai kerdil yg dihina
Di herdik tanpa timbang maruah diri
Disindir pedas makanan ruji



30
Diri bagaikan sampah dibuang
Maruah dijaja malah dijual
Tanpa nilai
Demi kuasa... Nilai kemanusiaan entah dimana
Demi pangkat... Orang bawahan bagai merempat
Tiada budi tiada bicara
Tiada santun hilanglah bahasa
Tiada sopan hanya demi ego!.
Kerana kuasa berkuasa
Yang putih bisa jadi kelabu 
Yang lemah menjadi wadah.

Seorang aku

Andai hari itu aku menangis
Lalu ada mereka yang ketawakan
Aku redha
Andai saat itu aku kehampaan
Dan ada mereka yang mencemuhkan
Aku pasrah
Andai waktu itu aku sakit
Namun masih adanya mereka yang mencebikkan
Aku rela
Kendati saat inipun aku kecewa
Dan mereka masih tersenyum sinis
Maka aku masih seperti dulu
Aku pasrah, aku redha, aku rela dan aku bersyukur seadanya...
Aku tetap seorang aku...

Pengalaman menjadi pengawas peperiksaan sambil menyaksikan ragam anak-anak menjawab soalan peperiksaan teah membuahkan “Tumpahnya Pena Terakhir”.Malah kuselitkan sedikit nasihat buat anak didikku di sekolah dengan “ Nasihat untuk Muridku”.

 Tumpahnya Pena Terakhir

Jenuhlah bertungkus lumus
Lelah sudah keringat diperah
Minda dicucuh dan diasuh
Rohani dijaga dan dibaja
Jasmani bertahan demi harapan

Saat bertempur telah tiba
Resah dan debar saling menyapa
Menanggung harapan orang tua
Sekolah dan guru dambakan data
31
Para pejuang bersengkang mata
Waima cuma UPSR sahaja

Hampir setahun buku dibaca
Semua rujukan turut dibuka
Pelbagai kaedah juga formula
Guru cemerlang menabur jasa

Guru terbilang berkebolehan
Mencurah ilmu siang dan malam
Ingin melihat hasil tuaian
Selepas bertahun membanting tulang

Tumpah kini pena terakhir
Hanya tiga hari masa diambil
Lega menjawab setelah difikir
Kini penantian datang bergilir
Menunggu keputusan terasa getir
Agar terjawab segala musykil.


Nasihat untuk muridku

Duhai anak-anak SK Selabak
Dengarlah kata guru dan mak bapak
Tuntutlah ilmu dengan galak
Kelak kita semua tidaklah rosak

Marilah bersama menuntut ilmu
Walau susah payah usahlah jemu
Kuatkan tekad dan semangatmu
Menjadi cntoh insan bermutu

Semua wajib menuntut ilmu
Agar menjadi orang yang tahu
Bukan sekadar untuk maju
Tanpa ilmu kita kan mudah ditipu!

Hai murid-murid sekalian
Ada mata telinga kita gunakan
Anugerah tuhan untuk kebaikan
Ilmu agama jadikan pedoman
Jangan nanti kita sesal di hari kemudian

32


                                                                     SEGMEN  5       

Bab ini menzahirkan konflik penulis dengan Tuhan dimana penulis mencatatkan butir perasaanya tatlaka barbica dengan Tuhan, mengadu malah tatkala menyesali sesuatu.

Sebagai hamba-Nya yang kerdil di muka bumi ini, kusedari bahawa aku banyak melakukan dosa dan khilaf yang besar mahupun yang kecil, yang kusadari mahupun yang tidak ku sadari. Sajak-sajak ketuhanan banyak aku catatkan saat aku berbicara dengan-Nya. Luahan rasa hatiku terhadap-Nya untuk ku nyatakan kekesalan, kesedihan malahan rasa kesyukuranku sebagai hambanya. Kepada-Nya sering kupohon agar rahmat-Nya sentiasa mengiringiku. Dengarlah luahanku dalam bait-bait yang kuzahirkan ini.

Andainya

Andai tiba saat aku
Menghirup udara yang terakhir
Di hari ini atau esok
Terimalah aku seapanya
Setakat aku yang terdaya
Andai tiba saat aku
Meninggalkan landasan dunia-Mu
Sambutlah rohku
Dengan seadanya
Setelah tertulis sebagai rezki
Aku bukan orang alim
Aku tidak orang warak
Hanya biasa- biasa sahaja
Aku telah mencuba 
Mungkin setakat yang terdaya
Ada saatnya aku kuat
Tika saatnya aku lemah
Tika waktunya aku khilaf
Ada kalanya aku alpa
Andai tiba saat aku
Redhokanlah setiap yang berlaku
Yang tertimpa ke atasku
Kusedari kelemahanku
Kuakui kekhilafanku
Takkan mampu mengejar syurga-Mu
Takkan daya menanggung azab-Mu
Berkali melanggar larangan-Mu
Sedikit mendukung suruhan-Mu
Andai tiba saat aku
Jadikanlah hariku ini 
33
Lebih baik dari hari semalam
Permudahkanlah urusanku
Urusan untuk mengadap-Mu.
Andai tiba saat aku
Mohon ampuni salah dosaku
Pada kalian yang mengenali
Atas hadirku selama ini
Dalam lakonan di pentas dunia
Mohon redhakan segala cerita
                                                       
Aku hanya ada Kamu

Hanya Engkau penolongku
Aku hanya ada Kamu
Dalam riuh mahupun sunyi
Engkau temanku sejati
Tempat aku melapor diri
Mengadu resah hati
Malah mengimbas perjalanan silam
Dalam kelam dalam suram
Saat aku jatuh jauh dari-Mu
Membelakangi-Mu
Mendabik dengan-Mu
Namun kutahu
Senyum-Mu terus kurindu
Seru-Mu masih kutunggu
Belas-Mu aku perlu
Ampunan-Mu kudamba
Kerana aku sering tidak bermaya
Malah aku terusan berdosa


Kucari Syafaat

Kan kuteruskan langkah kaki ini
Membawa bersama palitan lumpur di kaki
Aroma yang hanyir dan tengik
Menusuk hidung yang menghidu
Perlahan mencari arah pintu
Yang kala pinar mataku kelabu
Menghala arah yang keliru
Hanya kumohon pada-Mu
Arahkan cahaya-Mu 
Bantulah aku

34
Dalam meraba tetap jua ku genggam pada temali-Mu
Dalam gelita tetap jua ku hidup
Nur kasih-Mu
Biar tubuhku tenggelam dalam nanar hitam
Pautanku kan tetap mendakap dan mengharap
Syafaat-Mu.

Dosa

Kulihat wajahku di cermin
Gegaris dosa melingkar ruah
Kusam dan kelam terpancar di mata
Bebola noda bagai berkaca
Muram iras tanpa nur
Warkah nurani yang terbias
Menghampar dalam bait doa
Memujuk kalbu mencari cahaya.

Aduanku pada-Mu
Tuhanku
Aku nengadu pada-Mu
Tentang diriku yang lemah ini
Tentang hatiku yang sering goyah
Tentang istiqamahku yang tiada
Tuhanku
Engkau yang ciptakan aku
Engkau yang tentukan kada' dan qadarku
Engkau yang maha memberi hidayah-Mu
Engkau yang tahu tentang aku
Yang nyata atau yang sembunyi
Tuhanku
Aku tidak boleh lari dari-Mu
Aku tidak lepas dari penglihatan-Mu
Malah engkau tahu siapa aku
Tuhanku
Hanya kumampu mohon pada-Mu
Berikanku keampunan-Mu
Nurkan diriku dengan hidayah-Mu
Tetapkan iman dan islamku
Kasihanilah aku hamba-Mu.
Tuhanku
Gagahkanlah aku untuk meneruskan sisa-sisa usiaku ini
Dalam lingkungan cahaya-Mu.
Jauhilah aku dari dosa-dosa besar
Lindungilah aku dari kejahatan diriku sendiri.
Tuhanku, aku mengadu hanya pada-Mu.

35

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete