Showing posts with label misteri. Show all posts
Showing posts with label misteri. Show all posts

Wednesday, December 7, 2022

MISTERI YANG MASIH MISTERI

 Bila kuingat dan kenang kembali, ada beberapa peristiwa misteri yang pernah aku alamai atau sesuatu yang masih menjadi tanda tanya buat diriku sehingga kini. Kebanyakan perkara misteri itu melibatkan kesihatan dan keupayaan diri aku. Hairannya, perkara misteri itu bermula selepas aku berpindah tempat kerja, dari Sri Setia ke Kg Selabak.

Perkara pertama yang aku alami ialah tiba-tiba piggang dan kaki ku sakit.Lenguh dan nyeri, semakin hari semakin kuat. di bawa berurut pun tak kebah juga.Aku berurut dengan Wak Som,seorang tukang urut di Kg Selabak, tetapi masih lagi allah belum izin sembuh, urutan tidak dapat mengurangkan sakit kaki dan pinggangku itu.. Sakit di kaki itu menjadikan pergerakan aku terhad dan lambat kerana aku berasa kakiku teramat berat dan sukar untuk aku berjalan atau melangkah dengan pantas. Pergerakan aku menjadi lembab dan perlahan. Setelah hampir seminggu menahan sakit kaki, aku mencuba untuk membuat rawatan alternatif secara Islam. Aku pergi ke pusat rawatan Syifa d Padang Tembak. Sewaktu rawatan, tiada apa yang pelik berlaku dan aku juga rasa biasa-biasa sahaja. Namun selepas habis rawatan, dan aku mahu bergerak pulang ke rumah , namun sesuatu yang agak pelik berlaku pada diriku. Sebaik aku tiba di kereta, tiba-tiba aku berasa terlalu mengantuk dan menguap tidak berhenti. Tubuhku terasa lesu dan letih. Aku berasa tidak bermaya. Ikutkan hati, mahu sahaja aku tidur di dalam kereta. Sepanjang perjalanan pulang yang tak sampai 5 minit, aku terasa bagai terlalu lama sekali nk sampai ke rumah. Setiba di rumah, aku terus menuju katil dan tidur sepuasnya.  Alhamdulillah, sakit kakiku beransur sembuh selepas itu.

Perkara ke dua yang ku alami dan ku anggap agak misteri ialah tidak lama selepas sakit kaki, aku tiba-tiba di serang gatal2 seuruh badan. Kulit ditumbuhi ruam kecil dan gatal yg merenyam. Kulit berubah menjadi kering dan berkedut... aku tak tahu punca dari mana sehingga aku diserang gatal seluruh tubuhhku. Aku tidak selesa berpakaian. Balik kerja aku akan tanggalkan pakaian dan hanya berkemban sahaja. Gatal merenyam seluruh tubuh menyebabkan kesan parut di seluruh tubuhku terutama belakang badan dan kaki . Kadang sehingga menggelupas dan terluka . Tubuhku penuh dengan parut  "duit syiling" Wajahku pun ada masanya kelihatan kusam dan menakutkan adakala nampak seperti normal. Apabilla waktu semakin meninggi, kegatalan dan merenyam itu semakin terasa sehingga aku tk selesa dan gelisah mahu segera pulang ke rumah untuk membuka pakaian. Apabila ku oles atau usap tempat yang gatal itu, seakan terasa pedih seoerti di hiris pisau. memang sungguh menyiksakan. Keadaan ini berlarutan berbulan lamanya sehinggalah aku pergi berjumpa perwat syifa. Semasa rawatan, apa yg kurasa ialah satu perasaan sedih dan hiba tiba2 menyelubungi jiwaku sehingga aku menangis tiba2. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku menangis atau sedih sebab apa. Namun rawatan syifa masih belum serasi untuk menyembuhkan . Aku di bawa pula oleh adikku berjumpa seorang pengamal perubatan tradisional, seorang tua dan sangat berpengalaman. dia memberikan aku minyak masak untuk di sapu pada tempat yang gatal. Alhamdulillah, kian hari gatal itu kian hilang sendiri. 

Selesai masalah gatal-gatal di tubuhku, tidak lama selepas itu aku mengalami lagi sakit pinggang yang teramat hingga membuatkan aku tak boleh duduk lama kerana terasa duduk di atas benda tajam. Yang aku perasan, ia berlaku selepas aku mengunjungi sebuah tempat rekreasi mandi sungai di Janda Bik,. Balik dari sana pinggang mula meragam. Aku terpaksa meminta tolong anak sulungku memandu kereta menuju ke rumah tukang urut di Sg Besar. Semasa berurut,tukang urut mengatakan dia berasa tidak selesa dan seolah ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba tangan dan jarinya terasa lemah dan dia mengantuk rteramat sangat semasa mengurut aku. Dia menguap bebrapa kali. Kesimpulannya, dia menyuruh aku mencari air musoffa dan minum 3x sehari. Selepas berurut, aku pun mencari air yang dinyatakan dan meminumnya di dalam kereta. Tak semena aku berasa mual dan rasa nak muntah sedangkan aku tidak makan apa-apa sejak pagi disebabkan sakit pinggang ini. Hampir sahaja aku minta anak memberhentikan kereta di tepi jalan kerana nak muntah tetapi yang terasa keluar hanyalah angin sendawa sahaja.namun selepas itu, Alhamdulillah sakit di pinggang hilang perlahan-lahan. 

Satu lagi sakit yang aku alami dan yang paling serius aku rasakan kerana sakit ini yang paling lama aku alami lebih dari 6 bulan. Dalam masa tempoh itu, pelbagai cara rawatan telah aku cuba untuk merawat sakit itu. Sakit yang masih lagi melibatkan pinggang dan kakiku. Isa bermula ketika aku menunaikan solat tarawikh, tiba-tiba sahaja terasa benda mencucuk di pinggangku. Mencucuk yang agak lama sehingga seluruh kaki kiriku kebas dan membengkak dari pinggang hingga hujung kaki. Bagaimanapun sebelah lagi pinggang dan kakiku tidak pula sakit. Keesokan harinya kaki yang sakit itu bengkak dan kebas seperti digigit semut. Aku gelar kesemutan.Apabila bangun sahaja, seluruh kaki akan  kesemutan sehingga mencucuk-cucuk sakitnya dan kebas. pinggang lenguh sengal dan mencucuk bagai duduk di atas benda batu tajam. Hanya yang meredakan apabila aku baring sahaja. aku tak boleh duduk lama , 5 minit pon aku dah gelisah, sakit lenguh kebas dan 1001 rasa yang tak boleh nak ku huraikan. setiap minggu aku akan berurut dan pantang dengar tukang urut yang mahir, aku akan cuba berurut dengan harapan boleh sembuh. Selain itu, aku juga mencuba urutan kiropratik dengan 3 orang berbeza termasuk urutan ala-ala master Chriss tu namun masih belum baik. Aku turut mencuba rawatan akupunture, juga masih tidak sembuh. 

Ada peristiwa berurut yang tak dapat aku lupa tika berurut dengan seorang tua Mek berasal dari kelantan. Sebelum urut aku dia minta utk sediakan bakul sampah untuk persediaan dia muntah. katanya, kalau dia tak tahan adakalanya dia akan muntah apabila mengurut orang.Namun, yang muntah ketika berurut itu ialah aku! sebanyak 2x aku muntah. Muntah yang busuk dan hitam bagai air longkang. Dah la muntahnya banyak, tak tahu datang dari mana kerana aku tak makan berhari-hari sebab stress dek sakit ini. Mek mengatakan semasa mengurut aku, dia terasa ada pasir yang keluar semasa dia mengurut. Bagaimanapun, kaki dan pinggangku masih nelum sembuh juga. Aku dh mula rasa kecewa stress dan seakan hilang harapan. Aku tidak ceria, aku memendam rasa sedih sendirian. Namun aku teruskan juga saranan untuk mencuba lagi. Aku berurut lagi dengan tukang urut yang pernah mengurut sakit pinggang aku dulu. Kali ini perkara yang sama juga berlaku, tangan dan jari tukang urut terus lemah dan dia menguap banyak kali. Terus dia mengesyorkan agar aku buang dahulu sesuatu yang mengganggu di tubuhku . Jika tidak dibuang, peluang aku untuk boleh sembuh akan kurang  katanya. Rentetan itulah aku ditemukan dengan perawat tradisional ini dan rawatan cara dia memerlukan maccam-macam benda untuk aku sediakan . Antaranya ialah jarum, telur ayam kampung, upih pinang, pisang masak, kain hitam dan kuning kemenyan dan beberapa yang aku pun tak berapa ingat dah. Kesemua permintaan perawat itu aku cuba tunaikan walaupun cabaran untuk mendapatkan semua itu ada bermacam-macam kisah berlaku di sebaliknya.

Bagaimanapun, selepas sebulan dari rawatan itu, sakit pinggang dan kakiku masih juga belum baik Masih belum berjodohan untuk sembuh. Aku meneruskan lagi berurut dengan orang-orang yang menawarkan perkhidmatan itu. Suatu hari, aku terjumpa tukang urut dari Sg Besar dan aku terus book berurut dengannya ditemani adikku. Tak tahulah nak gelak atau tidak ketika mula2 berurut dengan yang sorang ini. Semasa mengurut, dia akan sendawa dan mengeluarkan angin sehingga seakan menjerit dan jeritannya itu membuatkan aku dan adikku terperanjat ketika pertama kali mendengarnya.. nak tanya malu. Adakalanya kami menahan dari ketawa kerana kehairanan selain terkejut. Menurut tukang urut yang masih muda ini, urat di kakiku tenggelam dan menyebabkan kebas. Dia juga ada mengesyorkan untuk mencuba ubat di kedai seng sei. Aku mengulang berurut dengannya lebih dari 3 x. pendek kata jika ada free aku akan booking slot berurut selang 2-3 minggu. Aku juga ada memakan ubat yang kubeli dari kedai sengsei itu jika aku terlalu sakit. Ubatnya ada 3 warna, putih, biru dan  merah kalau tak silap.Alhamdulillah,aku perasan, selepas 2x berurut terdapat perubahan dan kakiku semakin berkurang sakitnya. Sehinggalah akhirnya perlahan-lahan kebas di kakiku menghilang sendiri tanpa aku sedari bagai hilang di tiup angin. Hingga sekarang aku tak tahu, rawatan yang mana satukah yang serasi denganku hingga sakit kaki dan pinggangku ini sembuh. 


                                          inilah upih pinang yang akhirnya kami gubah jadikan sebagai kapal yang besar sekali!.. hahahahah

Ada yang mengatakan sakit pinggang dan kaki ku itu seperti sakit Scatia. Entahlah,mula-mula pergi ke doktor swasta, doktor tu ingat aku kena slip disc. Ada juga yg kata hanya sakit otot.. sebab semua result darah dan asid uric masih ok dan terkawal.


Saturday, October 20, 2012

Misteri ker?

Kisah ini sengaja aku tuliskan untuk menambah koleksi penulisanku di bawah label misteri.
Kisahnya bermula setelah tragedi kebakaran rumah orang tuaku suatu waktu dahulu. Setelah ketiadaan tempat berteduh pabila rumah sewa yang dicari tidak ditemui, maka keluarga ku menerima cadangan saudara - mara untuk menumpang sementara di rumah arwah adik- beradik embahku. Rumah arwah embah itu telah ditinggalkan kosong selepas kematiannya. Embahku itu sewaktu hayatnya merupakan seorang bidan atau tukang urut dan pandai membuat jamu untuk orang-orang yang bersalin. Jamunya memang sedap dan urutan embah memang disenangi oleh kebanyakan pelanggannya.

Setelah rumah yang kosong hampir dua tahun itu kami bersihkan, maka dapatlah kedua orang tuaku berteduh sementara kami menyiapkan rumah baru untuk mereka di tapak rumah lama kami. Menurut tukang itu, rumah baru emak dan bapa kami akan dapat disiapkan dalam tempoh 3-4 bulan. Oleh itu, duduklah emak dan bapaku dengan sabarnya.
           Suasana di rumah embah tu bila waktu padi menghijau. sungguh indah dan mendamaikan.

Bagaimanapun, menjelang minggu ke dua orang tuaku duduk di rumah itu, aku dapati keadaan kesihatan bapaku menjadi tidak menentu. Bapa mengadu mengalami demam. Katanya, demamnya hanya kuat pada waktu malam dan agak kebah pabila waktu siang. Mulanya bapa hanya makan ubat biasa yang dibeli di kedai sengseh sahaja. Masuk minggu yang kedua, keadaan kesihatan bapaku semakin tidak menentu dan adakalanya bapa mengadu mengalami kesejukan hingga menggigil tika malam hari bagaimanapun, pabila waktu siang, keadaan itu berkurangan dan bapa masih mampu untuk menunggang moto pergi ke surau dan masjid. Namun pabila menjengah minggu ke tiga, keadaan bapaku semakin teruk dan langsung tidak berdaya lagi untuk ke luar rumah, maka kami sepakat  memujuk bapa  bagi menjalani rawatan di hospital kerajaan. Bapa setuju namun, yang menghairankan ialah pabila pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh doktor mengatakan bapa tiada mempunyai masalah kesihatan. Semuanya dalam keadaan baik, sama ada tekanan darah, jantung mahupun kencing manisnya masih normal. Bapa hanya diberi ubat tahan sakit sahaja.

Kami sekeluarga mula hairan dan khuatir dengan keadaan bapa yang kelihatan semakin kurus, pucat dan lemah setelah hampir sebulan tinggal di rumah itu. Bagaimanapun, keadaan emakku adalah sebaliknya. Emak sihat seperti biasa.

Kami mula curiga bilamana, bapa ada bercerita tentang keadaanya yang mengalami situasi pelik seperti mengalami mimpi yang sama berulang kali pada setiap malam. Bapa risau dengan mimpi itu seolah kemungkinan bapa telah" mengganggu sesuatu" tanpa sengaja. Untuk pengetahuan pembaca, sememangnya semasa kami bermalam di rumah itu, kami mengalami situasi yang agak menghairankan kerana kami terdengar bunyi sesuatu yang jatuh di atas bumbung rumah itu dengan kuat seperti buah kelapa yang gugur ke atas bumbung zink. Bagaimanapun, kami tidak ambil pusing kerana memang terdapat pokok kelapa di tepi rumah itu. Ada masanya pula kami terdengar bunyi seakan bumbung rumah berlaga seperti di tiup angin kencang. Juga kami buat tak kisah kerana beranggapan, rumah yang di tengah sawah tentunya sebegitu keadaanya. Namun ada cerita yang memelikkan kami bilamana bapa sering terganggu tidurnya kerana bunyi bising di atas bumbung waktu malam seolah bunyi cakaran kuku yang tajam. Bapaku beranggapan mungkin terdapat kucing yang mengejar tikus di atas bumbumg sehingga tergelincir dan kukunya mencengkam zink bagi mengelakkannya terjatuh. Bapa kata, boleh dikatakan setiap malam mengalami bunyi itu.

Aku pula pernah terhidu bau air kopi yang harum di tengah hari namun waktu itu kami tidak pun membuat air kopi. Aku cuba mencari bau itu ke dapur dan keliling rumah tetapi tiada berjumpa sebarang air kopi. Aku menjengah ke luar tingkap dan cuba melihat sekeliling sama ada terdapat rumah jiran yang berdekatan sehingga bau itu terasa begitu hampir sekali. Malangnya, senua rumah jiran jarakkya terlalu jauh untuk memungkinkan semua itu. Adikku juga pernah mengalami bau yang menusuk hidung seperti bau orang membakar ikan atau daging. Baunya sungguh menyelerakan dan membuatkan adikku tertanya-tanya dari mana bau itu datang tika tengah malam begini.

Pernah suatu tengahari, sedang semua penghuni rumah berehat dan tertidur setelah kekenyangan makan tengahari, tiba-tiba bapaku yang sedang berbaring melaung dengan kuat,"sapa yang baling batu atas bumbung tu?"Jangan main baling batu, orang nak tidur ni!".Adikku dengan terpinga-pinga menjenguk ke luar untuk melihat keadaan itu. "Pak, mana orang kat luar, semua budak tidur ni! jawab adikku. Bapa terdiam terus.

Oleh kerana kesihatan bapaku tiada perubahan malah kelihatan semakin buruk, aku mengambil keputusan untuk membawa mereka menetap di rumahku dan menjauhkan seketika mereka dari rumah tersebut. Ini kerana kami adik beradik sepakat mengatakan bahawa, kemungkinan orang tuaku tidak rasi tinggal di rumah itu. Alhamdulillah, bapaku tidak membantah lalu mengikut aku pulang ke Teluk Intan untuk sekurang-kurangnya seminggu dua. Dalam pada itu, aku berusaha mencari penawar penyakit bapaku di kawasan kampung tempat tinggalku itu. Bagaimanapun, aku tidak membawa bapaku pergi berubat kerana sebelum ini, bapaku kelihatan seperti tidak percaya sakitnya itu berkaitan dengan makhluk halus.
inilah arwah embah yang berbakat mengurut.

Malam itu, aku ditemani suami pergi meminta air penawar bagi pihak bapaku di sebuah rumah orang tua yang disyorkan oleh penduduk yang tahu mengenai kebolehan orang tua tersebut dalam mengubati penyakit misteri. Setelah menerangkan tujuan kedatangan kami untuk meminta air penawar bagi pihak bapaku, maka orang tua itu mula bertanyakan tentang serba sedikit mengenai bapaku seperti namanya dan keadaan sakitnya. Kulihat orang tua itu mengeluarkan sebilah gunting kecil berbalut kain kuning,lalu berkata-kata dengan seseorang seperti ada orang yang berbual dengannya. Antara soalan yang masih ku ingat ialah, "Mengapa si polan ni sakit. Adakah si polan terkena buatan orang atau gangguan makhluk halus. Makhluk yang bagaimana?..
Dan akhirnya setelah tamat perbualan mereka, orang tua itupun menjelaskan bahawa, bapaku telah di"tegur" oleh sesuatu yang datang menghinggap kat rumah kosong tu.Ianya dari jenis yang menghisab darah...oleh itu, pada waktu malam, demam bapaku menjadi teruk tetapi tidak diwaktu siang kerana menurut orang tua itu..dunia makhluk itu, siang kita adalah malamnya dan malam bagi kita adalah siang baginya!.

Bagaimanapun, air penawar itu aku serahkan pada ibuku dan kami sepakat untuk merahsiakan air itu daripada pengetahuan bapaku .Alhamdulillah, setelah masuk hari ke dua bapaku meminum air penawar itu, dengan izin Allah, keadaan bapaku beransur pulih dan kuat.Akhirnya bapaku sihat seperti biasa dan boleh meneruskan aktivitinya seperti selalu.

Hmmm...jadi, persoalannya...adakah cerita ini boleh dikategorikan sebagai misteri?..Wallahuaklam.

Tuesday, October 11, 2011

laksa apa yg aku makan tadi?

Kisah ini diceritakan oleh seorang sahabat kepada adikku yang baru2 ini mengunjungi keluarga sempena syawal. Pelbagai kisah dan cerita yang mereka sembangkan namun kisah ini yang paling menarik hati aku untuk dikongsikan bersama-sama pembaca semua.

Rakan adikku adalah teman sepermainan di kampung atau lebih mesra dipanggil sebagai Yan oleh kami.Ketika itu Yan sedang mengikuti suaminya yang bertugas di Singapura dan mereka tinggal di Woodland. Waktu itu yan sedang hamil anak mereka yang pertama. seperti kebanyakan orang yang mengandung, Yan juga tidak terlepas mengidam pelbagai jenis makanan dan kebanyakannya sudahpun diperolehinya. namun dalam banyak makanan yang diidamkannya,Yan paling teringin untuk memakan laksa. bagaimanapun, hajat Yan untuk memakan laksa tersebut bukanlah begitu sahaja namun dia mahukan laksa tersebut dihias dan di susun persembahannya dengan dimulai oleh mee laksa, kemudian diatas mee tersebut disusun sayur atau salad, diikuti oleh lapisan susunan timun,bawang, cili dan telur rebus. Yan impikan laksa yang akan dimakannya hendaklah tersusun mengikut urutan seperti yang dibayangkan olehnya.

Demi memenuhi keinginan si isteri, maka suatu hujung minggu, berjalanlah mereka menuju ke tambak johor dan menyusuri sepanjang pantai Lido untuk mencari gerai-gerai yang menjual laksa. Namun setelah penat mereka merayau dan mencari, tidak ada satu geraipun yang menjual laksa. Kedua-dua suami isteri tersebut semakin letih dan yan sendiri mula merasa kecewa. Mereka tetap menyusuri sekali lagi Pantai Lido itu sebelum pulang memandangkan hari semakin senja.

Tiba-tiba mereka terpandang pada sebuah gerai yang tuannya sedang berkemas-kemas untuk menutup gerainya. Ah, gerai ini kita belum tanya lagi kan? kata isteri kepasa si suami. mereka pun segera bertanya kepada empunya gerai samada kemungkinan terdapat laksa di gerai tersebut. Alangkah gembiranya hati mereka apabila tuan gerai itu mengatakan ada dan hanya cukup untuk 2 orang sahaja. Apa lagi, mereka pun terus memesan laksa tersebut dan juga air inuman di gerai sebelahnya.

Kepuasan yang tidak terhingga terpancar di kedua-dua wajah suami isteri itu apabila laksa yang dihidangkan kepada mereka sungguh-sungguh serupa dan sama seperti yang dibayangkan oleh Yan iaitu, persembahan laksanya mestilah mee laksa diikuti lapisan sayur, timun, bawang cili dan telur yang sungguh-sungguh menyelerakan Yan. Mereka memakan laksa tersebut dengan sepuas-puasnya dan bagi Yan, itulah laksa yang terenak sekali yang pernah dirasa olehnya. Setelah selesai makan dan membayar harga laksa dan minuman, kedua-dua suami isteri itupun pulang semula ke rumah mereka dengan perasaan yang gembira.

Selang 3 hari kemudian, mereka sekali lagi bercadang untuk memakan laksa di tempat kelmarin.Terbayang rasa kenakan laksa yang mereka makan tempohari membuatkan mereka sekali lagi pergi ke Pantai Lido dan singgah ke warung tersebut. Namun alangkah terperanjatnya mereka apabila, mereka dapati warung yang mereka singgah kelmarin sudah uzur dan lama terbiar dengan longgokan sampah dan dedaun kering yang bersepah. yan dan suami berpandangan sesama sendiri. Eh, betulkan ini warung yang kita singgah malam itu kan bang?,,tanya Yan meminta kepastian dari suaminya. Akhirnya mereka bertanya kepada warung sebelah tempat mereka memesan minuman tempohari. Jawapan dari pemilik gerai sebelah benar2 membuatkan pasangan suami isteri itu meremang bulu roma kerana menurut mereka, gerai tersebut sudah lama tidak beroperasi dan merupakan gerai tinggal.

Oh, patutlah, sewaktu mereka menikmati laksa di gerai tersebut, mereka dapati ramai pengunjung lain yang memandang-mandang ke arah mereka seakan menncurigai sesuatu.Namun Yang menganggap semua itu hanyalah perasaanya sahaja. Kini Yan dan suaminya tidak mampu berkata apa-apa dan sehingga kini, mereka tertanya-tanya, laksa apakah yang mereka makan malam itu kerana biasanya, laksa yang dijual tidak tersusun sayurannya seperti yang diidamkan oleh Yan!.

Wednesday, June 8, 2011

misteri jam dinding

Malam itu aku dikejutkan dengan panggilan telefon yang masuk, sayup2 suara yg ku kenali merintih menangis memberitahu tentang keadaan abangku yang berada di hospital Manjung tika itu. Aku hanya mampu menyuruh kakak ipar agar bersabar dan sentiasa mengkhabarkan berita terkini kepada ku. Hampir tengah malam, sekali lagi panggilan yg masuk membawa khabar duka bilamana kakak ipar memberitahu bahawa abangku telah tiada….khabar itu seterusnya disampaikan kepada seluruh keluarga dan adik beradik untuk masing2 membuat persiapan yg sepatutnya. Aku dan suami bergegas ke hospital untuk melihat jenazah seterusnya menguruskan persiapan untuk membawa jenazah pulang ke kampung halaman di Sungai Besar selangor, dimana kedua ibu bapaku dan sekalian saudara sedang menunggu.malam itu seluruh keluarga ku di kampong tidak dapat tidur, adik beradikku mula tiba seorang demi seorang lewat dinihari untuk menantikan jenazah abang yg akan tiba dari Manjung.

 Seakan terngiang cerita kami seminggu sebelum ini, bilamana kami sekeluarga berpakat dan merancang untuk membawa abang pulang berubat di kampung seterusnya akan di jaga oleh keluargaku sementara menunggu sihat kerana kakak ipar terpaksa menguruskan anak2 yang bersekolah di Lekir. Pada mulanya abang keberatan kerana tidak mahu berpisah dengan keluarganya dan mungkin juga tidak mahu menyusahkan ibu dan bapaku, bagaimanapun kakak ipar akhirnya berjaya memujuk abang agar menurut perancangan kami.Abang akhirnya bersetuju untuk pulang ke kampung demi menjalani rawatan walau dengan berat hati dan berlinangan air mata. Malang sekali sebelum kami sempat menjemput abang di hujung minggu itu, abang terlebih dahulu terpaksa mendapatkan rawatan di hospital Manjung kerana kencing kotor dan gula yg tinggi di dalam darahnya. Entah apa kompilasi yg dihadapi sewaktu menjalani rawatan tersebut, akhirnya abang mengalami sesak nafas seterusnya semakin tenat sehingga abang pergi selama-lamanya. Kini,jenazah abang benar2 dibawa pulang ke kampong halamannya sepertimana yang abang persetujui itu.
Dentingan jam dinding memecah kesunyian dan kepiluan malam, berselang seli dengan alunan ayat suci yang telah mula dibacakan oleh ahli keluarga tika itu. Sehinggalah tepat jam enam pagi, subuh menjelang, jam di dinding setia berdenting mengikut waktunya.
Akhirnya, pengurusan jenazah abang selesai dan selamat dikebumikan pada jam 11 pagi. Masing2 pulang ke rumah dengan perasaan hiba dan sedih. Kami berkumpul di ruang tamu sambil melayan beberapa tetamu yg masih ada.

mataku terpaku kepada jam dinding yang tidak bergerak lagi. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 11. pagi, sedangkan waktu itu sudah hampir jam 12.30 tengahari. Lantas aku bertanya kepada adik beradik mengenai jam itu. ‘Betul ke bapak sudah baiki jam dinding ni? bila ya?’.Namun soalan itu tidak terjawab kerana masing2 tidak tahu. Akhirnya aku bertanya kepada bapaku, ‘Pak, jam dinding tu bapak dah baiki ker? mengapa dah mati semula? Di mana bapak hantar jam ini tuk di baiki?.  Namun jawapan dari mulut bapak amat memeranjatkan kami yang mendengarnya. ‘Eh, aku tak ada baiki lah? Dah hantar baiki beberpa kali tapi tak mahu jugak hidup, aku biar je jam tu kat situ’. Jawab bapak yang membuatkan kami semua terkesima.

Kalau tiada siapa yang membaiki jam itu, bagaimana jam itu boleh berfungsi sebentar tadi?. Menurut emak, jam itu berbunyi tepat pukul 12 tengah malam tadi dan ianya terus berbunyi setiap jam berikutnya tanpa gagal.Kakak ku juga mengesahkan mendengar bunyi jam itu tepat pukul 6 pagi sewaktu ketibaan jenazah abang dengan ambulan ke rumah bapak. Namun mengapa jam itu berhenti tepat pada pukul 11 pagi iaitu waktu yang dipercayai jenazah abang selesai dikebumikan?. Sehingga hari ini misteri jam dinding itu tetap tidak terjawab dan ianya terus menjadi persoalan dan tandanya kami sekeluarga. Sekali lagi perkara yang pelik berlaku pada jam dinding itu bilamana, rumah kayu tua bapakku telah terbakar  dan jika mengikut kedudukan jam itu berada,sudah tentu ianya turut hangus namun tiada yang tahu bagaimana jam itu terselamat dan masih elok walaupun sudah tidak berfungsi lagi. Sehingga kini, jam itu masih tegap menghiasi dinding bilik air rumah bapaku dan akan terus dibiarkan disitu…..

 Bapak ku mencari ‘harta karun’ yang terselit pada jam dinding sewaktu sukan keluarga dalam acara mencari harta karun sambil diperhatikan oleh cucu2nya.

                            

Di dinding yang hangus terbakar inilah sepatutnya jam itu berada dan bagaimana jam itu boleh berada dalam keadaan yang masih elok kini, masih tidak mempunyai jawapan.


Inilah jam dinding yang masih belum terjawab misterinya dan kebetulan kaitannya dengan kematian arwah abang.