Sunday, June 8, 2014

Catatanku : keranamu KOPI SASTERA


Sejak mula kubaca akan adanya sebuah majlis pertemuan santai iKOSAS, aku berusaha untuk menghadirkan diri dan  memeriahkan pertemuan tersebut di samping ingin sekali bertemu mata dengan para penulis serta penyair KOSAS yang selama ini hanya kukenali menerusi alam maya sahaja.
Perancangan mula kuatur.. walaupun sebenarnya ada perkara lain di hari dan tarikh yang sama , maklumlah masih dalam cuti persekolahan, namun semuanya cuba kuuruskan dengan sebaiknya.
Perkara pertama sebaik sahaja mendapat lampu hijau untuk ke majlis pertemuan iKOSAS tersebut ialah pergi membeli hadiah cenderamata untuk acara bertukar- tukar hadiah. Aku memilih untuk memberi sebuah flusk mini sebagai simbolik untuk kenangan di kopi sastera. 
                           (Hadiah ini masih ada tersimpan di rumahku)
Bagaimanapun dari segi pakaian aku tidak sempat untuk beria- ia melaram dengan baju baharu sebaliknya aku hanya 'mix n macth' sahaja bajuku yang mana ada dalam simpanan. Namun masih mengikut tema hitam dan merah. 
Selesai bab hadiah dan baju, kini tibalah hari yang ditunggu untukku memulakan perjalanan dari Teluk Intan ke Shah Alam bersendirian. Dengan rasa teruja dan sedikit cemas aku memulakan pemanduan seorang diri pada jam 11 pagi. Syukur perjalananku lancar walaupun banyak kenderaan di atas jalan serta banyak majlis kenduri di sepanjang perjalanan yang memperlahankan pemanduanku. Setibanya aku di kawasan Tanjung Karang, barulah kusedari bahawa hadiah yang sudah siap kubalut itu tertinggal di rumah!..perasaan kesalku memenuhi benak hatiku hingga membuatkan aku berasa amat kecewa. Kesal kerana sewaktu aku teringat akan hadiah tersebut aku tidak terus mengambil dan memasukkan ke dalam kereta. Sebaliknya aku berlengah dahulu sambil menguruskan hal yang lain. Namun untuk aku berpatah balik adalah tidak mungkin. Lagipun hadiah yang lain boleh aku dapatkan sewaktu dalam perjalanan itu. Aku segera singgah di Giant Kuala Selangor yang terletak di tepi jalan raya. Di sana aku tidak dapat memberi fokus kepada bentuk hadiah yang bagaimana kerana aku kira aku kesuntukan masa memandangkan perjalanan ke Shah Alam masih ada satu jam lebih lagi untuk tiba. Dengan tidak dapat membayangkan keadaan bandar Shah Alam dan kedudukan tempat tersebut, aku  tidak begitu fukos terhadap hadiah yang seharusnya ku pilih. Akhirnya aku memilih untuk mencari barang yang siap di dalam kotak bagi memudahkan aku membalutnya.Namun aku berharap sesiapa yang dapat hadiah dariku agar menerima seadanya. Tiba di kaunter bayaran,aku buka beg tangan untuk mengeluarkan dompet duitku namun sekali lagi aku dikejutkan dengan ketiadaan dompetku dalam beg itu!...Rupa-rupanya aku terkeluarkan dan tidak memasukkankembali dompet tersebut setelah menukarkan duit kecil sewaktu di rumah tadi.
Syukur aku ada menyelitkan duit dalam poket beg tangan namun jumlahnya tidak banyak. Cukup untuk melepaskan aku dengan membayar harga hadiah, tol serta minyak kereta. Aku bersyukur kerana masih ada jalan penyelesaian dan Allah mempermudahkan urusanku pada hari itu. Walaupun sebenarnya dalam waktu yang sama aku dihurungi rasa kecewa dan sedih serta keyakinan untuk memulakan perjalanan itu mula tergugat. Maklumlah dalam dompet itulah segala dokumen diri dan lesen memandu aku simpan. Bermakna, perjalananku dari Teluk Intan ke Shah Alam itu umpama pendatang asing tanpa pengenalan diri dan lesen memandu!.. Ya tuhan!. Sesuatu yang memang tidak pernah aku jangkakan!.
Bagaimanapun, aku bertekad untuk meneruskan perjalanan itu biarpun apa halangannya. Alang- alang sudah hampir sampai ke penghujung,aku teruskan juga misi aku hari itu.  
Perasaan gementarku bertambah pabila memasuki susur ke Shah Alam kerana aku tidak pernah ke sana bersendirian sebelum ini. Dengan situasi yang asing, serta berpandukan Waze.,aku mencari lokasi yang dinyatakan. Aku terbabas juga ke arah lain lalu membuat 'U-turn'sebelum  bertemu bangunan yang dimaksudkan. Dengan penuh yakin dan lega aku melangkah untuk mencari lif ke tinggkat tiga bangunan Umno, namun sempat disapa oleh pengawal yang bertugas sambil bertanyakan majlis apakah yang ingin aku hadiri. Rupa-rupanya aku tersalah lokasi!.. Oh tuhan!.. Serasa aku mahu menangis pula kerana aku begitu letih dan sedih lantaran terpaksa menahan kesedihan berseorangan setelah hampir tiga jam memandu. Syukur, pengawal tersebut menunjukkan arah bangunan yang harus aku tujui. Akhirnya aku tiba dibangunan itu seraya ditegur oleh seorang remaja yang bertanyakan arah tempat ku tuju. Pucuk dicita ulam mendatang, akhirnya sebaik pintu lif di tingkat tiga terbuka...terserlahlah hiasan pentas  iKOSAS merah dan hitam mencerahkan mataku yang kesayuan!. Syukur akhirnya perjalananku tiba ke destinasinya!.
Pengalaman bertemu sahabat iKOSAS pada hari itu sungguh menyeronokkan dan mengembirakan!. Aku rasa semua pengalaman tadi sungguh berbaloi dan merupakan penambah perencah masam manis pengalaman dan pengajaran untukku pada pertemuan ini.
                                                                  Manisnya pertemuan...
                           (Kenangan bersama kak siti robiah, cahaya laila dan kak ani yang sentiasa mesra).

Namun agak mengecewakan kerana aku tidak dapat membeli buku atau cenderamata yang dijual dalam majlis itu kerana ketiadaan wang cukup untukku. Syukur, dalam perjalanan pulang aku tidak menghadapi kesukaran untuk keluar dari bandar Shah Alam kerana mengikut sahaja arah papantanda. Walaupun terdapat sedikit kekeliruan namun semuanya masih dalam kawalan. Tiba di Kuala Selangor, wang yang ada berbaki 20 ringgit sahaja dan jumlah itulah kugunakan untuk mengisi minyak setelah penanda aras minyak keretaku menunjukkan tinggal satu bar sahaja. Syukur akhirnya aku tiba di rumah dengan selamat pada jam 9.malam. 

No comments:

Post a Comment