Thursday, March 27, 2014

Sajak2 ku

Hikmah dari kehilangan

Ada galur cahaya
Yang merentangi perjalanan ini
Biarpun terbias
Namun ia tetap sinaran
Yang tampak silaunya
Carilah ia
Oleh mata hatimu
Walau tidak terlihat di mata kasar
Ia tetap ada
Carilah ia 
Biarpun di sisimu hanya gelita
Yang kau rasa cuma hitamnya
Kerna mungkin sebenarnya 
Kau masih belum terjaga
Akibat lelah dari kehilangan
Untuk terus mencari 
Sejalur cahaya ini

Okidputeh Azim
4.20am 19 Mac 2014
Teluk Intan.



Takdir.................(MH 370.)

Jika itu sudah takdirMu
Ia tetap kan berlaku
Jika itu yang tersurat
Semua yang berlaku tak pernah lambat
Walau sebijak mana manusia
Hatta pintar seantero dunia
Namun kebijaksanaanNya
Mengatasi segalanya
Pasti ada hikmah yang tersembunyi
Tentu ada rahsia yang terperi
Menduga insan dengan musibah
Sejauh mana akal dibedah
Cukupkah dengan mendabik dada
Mencipta reka tercanggih dunia
Membuai manusia hingga lupa
Terleka jika kita ada Pencipta?
Jika itu sudah takdirnya
Yang terjadi tak perlu kesali
Kembalilah menginsafi diri
Menggali kelemahan sendiri
Sambil tawakkal teruskan misi
Iringi doa mohon diberkati
Buang yang keruh ambil yang jernih
Baik jadikan pedoman
Buruk buat sempadan
Yang hidup diteruskan
Yang pergi doa dikirimkan
Walau tanpa kubur dan nesan
Namun di hati rapi tertanam.




Matikah hatiku

Tidak lagi ku tangisi pergimu
Malah pulangmu tak ku nanti
Jika dulu kenangan denganmu menggebu saban waktu
Kini mengingatimu aku jemu
Pernah rindu padamu menderu
Walaupun kau dihadapanku
Berahi padamu setiap waktu
Seiring nadi dan denyut jantungku
Tak pernah jemu memberi ruang padamu
Rela memaku serpihan naluriku
Asal bisa duduk berdua denganmu
Matikah hatiku
Mengapa tiada lagi gelora di jiwa
Walau kau berusaha menggoda
Hanya serah diri sendiri
Tanpa diiringi oleh hati
Segalanya kau yang permula
Mematah hatiku tanpa simpati
Permainkan kepercayaanku berkali- kali 
Kini hatiku telah mati. 
Yang tinggal hanya simpati....

Okidputeh Azim
9.35pm 7.03.2014
Teluk Intan


Aku lelah

Kau sering menyatakan hasratmu
Ingin menyambut tanganku
Jika kita tiba di pulau itu
Pulau yang jauh tak terjangkau kaki melangkah
Pulau yang hening dan tak tersayup mata memandang
Kau acap membayangkan membina puri di pulau itu
Kau sudi menemani perjalananku ke sana
Tapi aku sudah lelah
Aku mahu berhentikan langkah
Aku mahu tinggal sahaja di sini
Walau kau sering memotivasikan aku 
Untuk teruskan perjalanan
Agar tidak putus asa
Sambil mengimbau impian indah
Pada saat-saat yang manis-manis
Tapi aku sudah penat
Aku tak mahu hidup berlatarkan angan
Kerna letih dikejar bayang- bayang seumur usia
Aku mahu pakukan hidupku 
Di pentas ini sahaja
Kerana aku sudah lelah


Okidputeh Azim
4.3. 2014
7.20pm
Teluk Intan







No comments:

Post a Comment