Friday, May 24, 2013

TAKDIR DAN WAKTU

Izzah menyeka airmatanya yang laju mengalir di pipinya. Puas sudah ditahan,tetapi sukarnya untuk Izzah mengempang air matanya dari terus membanjiri wajahnya yang suram.Di dadanya mendung semendung cuaca tika ini. Mata Izzah jelas bengkak dan merah. Dia tak tahu bagaimana lagi untuk dia menyembunyikan kekusutan dan kemuraman di wajahnya dari orang ramai tika ini.Puas semalam dia menjawab dan menepis pertanyaan rakan sejawatnya mengenai bengkak di matanya. 
Hari ini degupan jantungnya terasa laju setelah terpandang pada sepucuk surat yang bertulis tangan terletak kemas di birai katilnya.Tertera tulisan ringkas yang berbunyi...kepada; isteriku sayang. Degupan jantung Izzah kali ini semakin bertambah kuat dan tidak seperti kuatnya tika telinganya menangkap luahan rasa suaminya pada malam semalam. Ya, malam itu, dalam dakapan lesu, suaminya menyatakan permintaan yang sukar ditunaikan mahupun untuk telinga hawanya mendengar. Belum sempat penjelasan lanjut disuarakan, Izzah lantas menutup mulut suaminya dengan jari.
Debar dan tandatanya terus bertahta di jiwanya di saat lembaran surat itu dikeluarkan dari sampul. Bebola mata Izzah terus terpaku pada bait kata-kata yang berbaris rapi dalam surat itu. Perlahan Izzah mula membacanya.

Sayang,
kalau kau masih ingat, pertemuan pertama kita dahulu, entah mengapa saat terlihatmu terdetik perasaan dalam hati ini, ingin mendekati dan mengenalimu. Keayuan, kesederhanaan, manis senyummu dan nakalmu mencuit hati abang. sekaligus mengundang seribu satu perasaan bahagia yang mengalir mengisi kekosongan ruang di hati abang. Saat yang terindah dalam hidup abang, tika itu adalah merinduimu, dan segalanya tentang dirimu. Abang rasa bahagia, tambah-tambah lagi bilamana sayang tidak menolak diri ini, malah menerima abang seadanya. Sayang,
keikhlasanmu menyayangi dan mencintai abang membuatkan sayang dan kasih abang padamu bertambah utuh.Abang nekad untuk membina maahligai indah bersamamu sayang. Dan adalah yang paling membahagiakan tika mana saat abang menerima ijab kabul pernikahan kita. Sayang sungguh berseri tika itu dan abang bagai berada di alam mimpi indah di kayangan, melayari bahtera hidup dengan mu sayang. Ingatkah lagi di saat kita berdua membajai hubungan suci kita dengan kasih sayang dan pengertian. Abang benar-benar bahagia hidup bersamamu. Masih terasa hangatnya jemarimu ku genggam dan betapa kuatnya degupan jantungmu tatkala abang menatap wajahmu di malam bahagia kita.
sayang,
Terasa rindu yang sarat dalam dada bagai terubat dengan hadirnya senyumanmu, bagai hilang dahaga kerinduan ini dengan lembutnya belaian kasih dari mu, Sungguh abang amat menyayangimu dan akan terus menyayangimu hingga akhir nafasku.
Sayang, bagi diri ini, engkaulah insan yang menyembuhkan luka di hati abang, engkaulah insan yang menyuburkan semula ketandusan dalam dendam cinta abang yang seakan tiada kesudahannya, benarlah sayang,suka duka hidup kita berdua dan berbahagia dalam susah dan senang, bersama lima cahaya mata kita,pengikat kasih sayang kita hingga ke syurga. Ketahuilah sayang, pengorbananmu sebagai isteriku, sungguh ku hargai. Tepatlah jodoh yang tuhan tentukan untuk kita.
Namun sayang....
Baru-baru ini hati abang dalam persimpangan delema...abang serba salah,dan buntu, bagaimana harus abang kongsikan perasaan dan perkara ini dengan mu .Namun abang juga seakan tidak mamapu untuk terus menyembunyi dan menyorokkan permasalahan abang yang abang alami ini. Percayalah sayang,selama ini abang berterima kasih kerana kau tetap setia berdiri teguh di sisi abang dalam suka mahupun duka.Namun kali ini abang kurang pasti sama ada sayang masih sekuat dulu untuk terus berdiri di samping abang.Tiada terniat di hati ini untuk tidak mempercayaimu sayang, namun bagi abang, perkara ini memang agak sukar untuk dijelaskan.
sayang,
diam tak diam, hampir 20 tahun kita layari hidup bersama.Terima kasih sayang kerana dirimu tidak jemu menjadi isteri dan ibu pada anak-anak abang dengan sabar.Sayang, abang tak pasti mengapa tiba-tiba setelah abang tersua semula dengan insan yang pernah bertahta di hati abang suatu ketika dahulu, ianya mengundang semula sejarah dan perasaan lama yang terkambus. Abang tak tahu mengapa tersingkapnya khazanah lama ini membuatkan abang tewas pada perasaan sendiri.
sayang, ketahuilah tika dan saat ini hati dan perasaan abang tidak bisa untuk melupakan si dia.Rindu abang yang hadir padanya serupa seperti rindu abang pada sayang suatu waktu dahulu. Bahagia abang bila bersamanya seperti rasa bahagia abang bila bersamamu, Sungguh abang dalam delema...di luah mati bapak, di telan mati emak. Abang gagal untuk melupakannya, mahupun cuba untuk meninggalkannya. Maafkanlah abang sayang!.
sayang, percayalah, saat kau tiada di sisiku, abang terasa sunyi dan keseorangan. abang sepi..tetapi mengapa perasaan yang sama dan serupa abang alami tika abang berjauhan darinya. malah tika si dia cuba pergi meninggalkan abang, abang sungguh rasa tidak bermaya.abang sepi, abang sunyi dan abang rindu...Sayang,
mengapa abang terlalu menyayangi dan mencintai kalian berdua?Abang bahagia bila bersama- sama denganmu dan dengannya. Abang sendiri buntu, abang keliru dan abang dalam persimpangan dilema kerana abang tidak berdaya untuk memilih yang mana antara satu.Abang tidak akan membuang sayang hanya kerana hadirnya dia, malah abang sejujurnya tidak pula sanggup kehilangannya untuk kali kedua.
sayang isteriku,
Andai kau mendengar luahan suara hati abang ini, berikanlah jawapanmu, tunjukkanlah kepastian mu,namun janganlah kau pinta untuk abang meninggalkanmu. abang sayang keluarga kita. Namun jika kau meminta untuk abang melupakannya, abang sendiri tidak mampu untuk memberikan jawapan dan kepastiannya.Lantaran hati dan perasaan abang sudah sebati dengannya. abang sayang dan cintakan kalian berdua!.
Mungkin, jikapun abang terpaksa meninggalkan dirinya, jauh di sudut hati ini, abang akan terus tetap mencintai dia dan terus merinduinya. Kalaulah takdir telah menentukan nasib abang sebegitu rupa. Selamanyalah abang akan menjeruk hati dan memendam rasa.Sekarang ini, terpulanglah kepada sayang untuk menentukan hala tuju abang selepas ini.
Sayang, maafkanlah abang kerana berterus terang dan sungguh tidak terlintas di hati abang selama ini untuk abang bersua semula dengan cinta abang yang lama. Cinta yang selama ini menjadi dendam seusia dunia.Semuanya ini adalah ketentuanNya dan dengan keizinanNya jua ia berlaku. Mungkin segalanya tersurat oleh takdir, maafkanlah abang....

Izzah terkedu, terkesima dan seakan dunia sekelilingnya sunyi sepi serta kosong..sekosong semangat jiwanya yang dirasakan telah pergi...air matanya terus laju menitis membasahi ronyokan surat dalam genggamannya.Izzah terasa berpinar seketika..longlai jiwa dan raganya namun Izzah masih tiada jawapan untuk semua ini...

No comments:

Post a Comment