Tuesday, July 15, 2014

Oh bola!

Sudah lebih seminggu Cik Zeema perhatikan Falah tidak bertegur sapa serta berbual mesra dengan Wahid. Adakalanya Cik Zeema perasan yang mereka berdua bagai mengelak untuk berhadapan atau berada dalam satu kumpulan.Tertanya-tanya juga di hati Cik Zeema tentang situasi tersebut memandangkan sebelum ini Falah dan Wahid memang dikenali sebahgai dua sahabat baik. Keakraban mereka juga sudah dilabelkan seperti isi dengan kuku yang bagai tidak boleh dipisahkan. Dimana ada Falah di situ juga ada Wahid. Persepsi aneh yang menyelinap di sanubarinya terus sahaja muncul tiba- tiba bila disedari keadaan terkini dua remaja tersebut yang tidak lagi mesra seperti dulu..Namun kesangsian yang bermain di benak Cik Zeema itu dibuang jauh-jauh memandangkan ketika ini terlalu banyak kerja-kerja yang lebih penting serta memerlukan perhatiannya dengan segera.
Hari itu Cik Zeema melalui lagi lorong Za'aba menuju ke kantin, tiba-tiba matanya terlihat Falah yang sedang makan berseorangan di meja bulat berhampiran Taman .
 "Eh, Falah, makan seorang saja hari ini, mana Wahid, kan kamu selalu makan berdua?" Sekonyong-konyong Cik Zeema melontarkan soalan bila mana dia terlihat Falah duduk makan dengan wajah yang resah berseorangan.
"Oh cikgu, hari ini saya lambat turun kantin, semua orangpun dah selesai makan. Maaf ya cikgu saya pun nak bertugas ni ". Jawab Falah tergesa-gesa sambil mengemaskan sisa bekas makanannya lalu beredar dari situ.Cik zeema terpinga-pinga sambil melihat sahaja Falah berlalu meninggalkannya, seolah-olah terkejar urusan penting.
Di dalam kelas, Cik Zeema masih dapat menangkap raut wajah muram Falah dan Wahid. Mereka juga sudah berpindah tempat duduk dimana Wahid duduk lebih jauh di belakang kelas.Kumpulan perbincangan mereka juga sudah tidak sama. Kali ini Wahid yang dulunya banyak membentang kerja kumpulan, seakan tidak berminat untuk terlibat sama. Jauh di dalam hati Cik Zeema turut terasa anehnya perubahan sikap anak muridnya ini. Keriuhan dan keceriaan dalam kelas dengan gelak tawa dan gurauan mereka tidak terasa meriahnya. Cik Zeema berasa sedikit pelik dengan keadaan ini.Falah juga juga begitu, dilihatnya Falah lebih suka mendiamkan diri dan tidak menoleh-noleh ke belakang untuk bersembang.

Suatu hari di dalam pusat sumber, Cik Zeema terdengar perbualan Asraf dan Khair serta beberapa lagi murid tahun 6 Wira yang duduk semeja.
 "Sape tak marah, kalau aku jadi Wahid pun aku akan marah bila raja aku dihina!". lantang suara Asraf memecah kesunyian pusat sumber pagi itu.
 "Alaa....kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang, lagipon kan ada pepatah yang mengatakan raja alim raja disembah,raja zalim raja disanggah?".Balas Khair. Suara mereka berbahas mula memenuhi rongga telinga Cik Zeema. Bagaimanapun, suara mereka tiba-tiba hilang bila Wafikah yang bertugas sebagai pengawas pusat sumber membunyikan huruf s seperti mengajuk bunyi ular sambil jari telunjuk diletakkan pada bibirnya. Entah mengapa Cik Zeema berasa seolah isu yang didengar itu berjaya menarik perhatiannya.Cik Zeema segera memanggil Asraf ke mejanya.  Dia melontarkan beberapa soalan kepada Asraf, adakalanya Cik Zeema mengerutkan dahinya. Terlihat Cik Zeema melepaskan sebuah keluhan sewaktu dia menghembus nafasnya dengan panjang.

Petang itu, aktiviti kokurikulum berlangsung seperti biasa. Cik Zeema mengambil peluang itu untuk menemui Wahid secara berseorangan. Mereka berbual dan berbincang dengan rekreasi wajah yang serius.
"Cikgu, bukan saya yang mulakan, tapi Falahlah punca semua ini. Siapa yang tak sakit hati bila membaca komen dia yang terang-terang menghina sultan saya cikgu!. Adakah patut dia labelkan saya dan raja saya dari keturunan lanun?". Wahid meluahkan rasa tidak puashatinya kepada Cik Zeema.
"Kalau dah kalah tu mengaku kalah sajalah, tak perlulah nak cari macam-macam alasan untuk mengkondemkan orang"!Tambah Wahid lagi. Kali ini puaslah hatinya dapat melepaskan segala yang terbuku di hatinya selama ini kepada Cik Zeema. Wahid berasa lega dan selesa bila berbual dan meluahkan perasaan atau masalahnya kepada Cik Zeema. Terpancar jelas pada diri Cik Zeema sifat keibuan serta sifat seorang pendidik yang amat mengambil berat serta memahami masalah anak muridnya.
Cik Zeema tersenyum pahit mendengar luahan dari Wahid. Sudah dia agak bahawa kedua orang muridnya ini memang mempunyai masalah dalam hubungan mereka.
"Tak apalah Wahid, kamu sabar dan usah ikutkan hati yang marah sangat tu. Cubalah bertenang dan ingat kembali saat- saat kamu berdua gembira dan saat kamu berduka

Dalam kepala Cik Zeema ligat mencari formula bagaimana untuk menyelesaikan masalah anak muridnya itu. Padanya masalah itu tidaklah sebesar mana, namun dia faham bahawa adakalanya masalah yang kecil pada seseorang itu mungkin akan kelihatan besar pada seseorang yang lain. Lebih- lebih lagi pabila mereka yang menghadapinya dalam usia yang sangat mentah dan mudah terikut-ikut perasaan.
Cik Zeema mencari peluang pula untuk bertemu dan mendengar sendiri cerita dari mulut Falah. Bolehlah nanti dia membuat keputusan dan mencari penyelesaian serta membantu muridnya itu untuk berdamai dan berbaik- baik semula seperti asal . Seterusnya nanti kelasnya itu akan kembali ceria dan pengajaran dapat berlangsung dengan lebih berkesan.

"Assalamualaikum cikgu, ini buku latihan yang saya kumpulkan untuk diserahkan pada cikgu. Bagaimanapun ada seorang murid. yang tidak hantar cikgu!." Pagi itu Falah selaku ketua kelas datang ke meja Cik Zeema untuk menghantar buku kerja mereka. Kesempatan itu digunakan oleh Cik Zeema untuk mengorek pula cerita di sebelah pihak Falah.
Cik Zeema menyuruh Falah dufuk sebentar di meja sebelahnya yang kospng. Perlahan Cik Zeema melontarkan soalan kepada Falah dengan berhemah.
"Maaflah Falah, cikgu nak tahu benarkah Falah dan Wahid sekarang sudah tidak berkawan?."bukan apa, kalau boleh cikgu tolong, cikgu akan cuba carikan penyelesaian supaya perkara ini tidak berlarutan.". Falah tunduk merenung lantai pabila sedar masalah mereka sudah diketahui oleh Cik Zeema. Malu pon ada dan dalam masa yang sama geram juga dia pada Wahid kerana mengadukan hal ini kepada guru.
"Kamu jangan salah anggap pada Wahid, dia tak mengadu pada cikgu tapi cikgu sendiri yang terperasan akan perubahan tingkah laku kamu berdua!". Jelas Cik Zeema seolah- olah mengerti persoalan yang bermain dalam kepala Falah. Segera Falah  tersenyum pahit pada Cik Zeema. 
"Sebenarnya cikgu, saya hanya bergurau sahaja tentang "keturunan lanun" tu. Tak sangka pula Wahid terasa hati dengan gurauan saya itu". Sedih sahaja bunyi suara Falah sewaktu menjelaskan hal sebenarnya kepada Cik Zeema. "Saya sudah minta maaf dan jelaskan kepada Wahid tapi dia tak mahu terima penjelasan saya, malah dia menyakitkan hati saya dengan mengatakan saya dan keluarga saya jenis tak mengenang jasa dan tak tahu diuntung!." Merah padam wajah Falah sebaik menghabiskan ayatnya itu. Wajah yang tadi cuba bertenang, kini nampaknya semakin mencuka!. Geram sungguh gayanya Falah terhadap Wahid. Jelas, hubungan mereka memang sedang ditahap kronik. Cik Zeema terdiam seketika. Memang dia tahu bahawa keluarga Falah bukan berasal dari Johor. Mereka berpindah ke Johor disebabkan tugas ayah Falah yang memerlukannya untuk berhijrah ke luar negeri.Pabila ada cuti panjang keluarga mereka akan mengambil peluang untuk pulang bercuti ke kampung halaman mereka.Mungkin disebabkan itulah semangat kenegerian terhadap pasukan masing-masing terserlah dalam diri mereka.
Cik Zeema menarik nafas panjang.
"Baiklah, cikgu nak tanya, benarkah isu ini bermula disebabkan oleh perlawanan bola sepak antara pasukan Johor dengan Selangor tempoh hari?." Cik Zeema nekad untuk mengembalikan persefahaman yang telah hilang antara mereka berdua.
"Benar cikgu."jawab Falah ringkas.Kini barulah Cik Zeema faham akan situasi sebenar konflik antara dua orang anak muridnya itu.

Esoknya juga tanpa berlengah Cik Zeema memanggil kedua-dua orang muridnya itu Falah dan Wahid untuk berbincang bersamanya dalam pusat sumber sekolah.Kebetulan hari Jumaat itu Cik Zeema mempumyai waktu lapang yang agak banyak. Mereka bertiga duduk dengan selesa di atas sofa dalam bilik yang tertutup. Bilik itu adalah bilik untuk guru PSS membuat kerja-kerja rasmi berkaitan dengan PSS . Dengan sedikit kekok, Cik Zeema memulakan perbualan setelah dilihatnya Falah dan Wahid tidak bercakap walau sepatah dari tadi.Kedua-dua mereka hanya memandang lantai dan sesekali memandang papan kenyataan dalam bilik tersebut.
"Wahid , Falah, apa khabar kamu hari ini?" Memulakan perbualan dengan bertanya khabar.
"Saya baik-baik sahaja cikgu" jawab Falah. Manakala Wahid hanya menganggukkan kepalanya sahaja.
"Baiklah, dengar sini, cikgu jelaskan beberapa perkara yang mukin kamu perlu tahu.Tiada seseorangpun di dunia ini yang tak melakukan kesalahan atau kesilapan.Kita semua bukannya sempurna,sertiap seseorang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing".
Falah dan Wahid kelihatannya mendengar dengan minat apa yang ingin disampaikan oleh Cik Zeema. "Dari kekurangan dan ketidaksempurnaan inilah sebenarnya manusia memerlukan antara satu sama lain bagi melengkap dan menampung kekurangan yang ada.". Cik Zeema berhenti seketika sambil memandang kedua-dua orang murid dihadapannya dengan senyuman.
 "Bagaimanapun, semua perkara tersebut tidak dapat terlaksana sekiranya tiada tolak ansur dan perasaan saling menghormati."
"Sebenarnya masalah ini kecil sahaja dan ianya boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya kita berlapang dada".Tambah Cik Zeema.
"Pada pendapat cikgu, kamu berdua sama-sama melakukan kesalahan dan sama-sama dipengaruhi oleh emosi amarah kamu.Tiada yang untungnya sekiranya perkara ini berlarutan tanpa ada pembetulan.Cikgu harap kamu berdua sama-sama memikirkan dan mencari kesilapan masing-masing serta cuba perbaikinya di masa akan datang!. Untuk itu, cikgu harap kamu dapat saling bermaafan dan mulakan semula persahabatan kamu seperti dulu, boleh?"Falah bersalah mungkin kerana bergurau tak kena masa dan bergurau dengan isu yang agak sensitif iaitu bila mengungkit tentang keturunan raja dan rakyatnya sehingga membuatkan Wahid tersinggung, tetapi Wahid juga bersalah kerana terlalu ikutkan emosi serta tidak mahu menerima maaf dari Falah sehingga membuatkan keadaan semakin parah!Setuju tak?"Cik Zeema memandang tepat pada bola mata Falah dan Wahid bergili-gilir. Falah dan Wahid saling berpandangan lalu mengangguk kepala perlahan.
"Hmmm...Kalau begitu apa lagi?..salamlah dan selesaikan masalah ini!" Suara Cik Zeema riang serta tersenyum lebar.
Falah dan Wahid saling bersalaman lalu mereka berdakapan. Mulut masing-masing mengucapkan kata maaf antara satu sama lain sambil wajah mereka kembali ceria. Cik Zeema memerhatikan dengan rasa puas hati, lantas mereka bertiga keluar dari bilik tersebut lalu berinringan berjalan menuju ke kelas.










No comments:

Post a Comment