Friday, January 17, 2014

Keseronokan hidup di kampung


Seronoknya tinggal di kampung! Sesekali melepaskan  tekanan serta melapangkan fikiran sambil melayan anak- anak dengan memancing ikan darat amatlah menyeronokkan. Masa balik kampung dan berkumpulnya anak beranak dan adik beradik inilah pelbagai perkara yang direka oleh anak- anak untuk mereka bermain,oleh itu salah satu aktiviti yang boleh membuatkan anak- anak gembira dan teruja ialah dengan membawa mereka pergi memancing!.

Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan dan menarik pada anak-anak malah ianya juga merupakan satu cara untuk mengeratkan hubungan antara keluarga, ibu bapa, anak-anak dan sepupu sepapatnya. Bonus kepada aktiviti ini sebenarnya diterima oleh orang dewasa itu sendiri iaitu mereka dapat merehatkan dan melapangkan fikiran dari memikirkan soal urusan kerja.

Sekiranya aktiviti ini dirancang lebih awal sehari dua, persediaan untuk memancing lebih tersusun rapi dan lengkap dengan umpan yang kami beli dari kedai memancing. Kebiasaannya kami menggunakan umpan cengkerik hidup yang boleh dibeli dengan harga serendah seringgit sebungkus. Namun sekiranya aktiviti memancing ini dibuat dengan secara tiba-tiba, kami hanya mencari cacing tanah di sekitar belakang rumah sebagai umpan.

Bagaimanakah hasil pemancingan kami?Hmm... semuanya bergantung kepada rezeki selain dari musim yang sesuai.Adakalanya rezeki kami memang lumayan dan menyeronokkan terutama anak-anak apabila mata kail mereka dimakan ikan. Namun ada juga pemancingan yang tidak bernasib baik apabila tiada ikan yang sudi untuk menjamah umpan kami. Antara ikan darat yang biasa diperolehi sewaktu memancing ini ialah ikan puyu, ikan haruan  dan ikan keli selain dari ikan lundu dan talapia.

Kepada mereka yang duduk di bandar atau pekan, selain aktiviti memancing yang menyeronokkan ini, mereka juga akan rasa tenang dengan pemandangan serta tiupan bayu desa yang menyegarkan!. Hihiihii... Adakalanya sekiranya bernasib baik, kita juga dapat melihat aksi orang memancing belut selain menjala dan menjaring ikan. 

Apa yang istimewanya bagi keluarga kami ialah kami mempunya bubu yang digelar tempang iaitu hasil kerja tangan oleh bapa kami sendiri. Tempang ini diletakkan dalam parit (tali air) di tepi sawah siap dengan set belatnya untuk memerangkap ikan. bilamana tangkapan ikan memancing kami tidak seberapa selalunya kami akan mengangkat tempang ini yang selalunya hasilnya tidak mengecewakan.







No comments:

Post a Comment