Kisahnya bermula setelah tragedi kebakaran rumah orang tuaku suatu waktu dahulu. Setelah ketiadaan tempat berteduh pabila rumah sewa yang dicari tidak ditemui, maka keluarga ku menerima cadangan saudara - mara untuk menumpang sementara di rumah arwah adik- beradik embahku. Rumah arwah embah itu telah ditinggalkan kosong selepas kematiannya. Embahku itu sewaktu hayatnya merupakan seorang bidan atau tukang urut dan pandai membuat jamu untuk orang-orang yang bersalin. Jamunya memang sedap dan urutan embah memang disenangi oleh kebanyakan pelanggannya.
Setelah rumah yang kosong hampir dua tahun itu kami bersihkan, maka dapatlah kedua orang tuaku berteduh sementara kami menyiapkan rumah baru untuk mereka di tapak rumah lama kami. Menurut tukang itu, rumah baru emak dan bapa kami akan dapat disiapkan dalam tempoh 3-4 bulan. Oleh itu, duduklah emak dan bapaku dengan sabarnya.
Suasana di rumah embah tu bila waktu padi menghijau. sungguh indah dan mendamaikan.
Bagaimanapun, menjelang minggu ke dua orang tuaku duduk di rumah itu, aku dapati keadaan kesihatan bapaku menjadi tidak menentu. Bapa mengadu mengalami demam. Katanya, demamnya hanya kuat pada waktu malam dan agak kebah pabila waktu siang. Mulanya bapa hanya makan ubat biasa yang dibeli di kedai sengseh sahaja. Masuk minggu yang kedua, keadaan kesihatan bapaku semakin tidak menentu dan adakalanya bapa mengadu mengalami kesejukan hingga menggigil tika malam hari bagaimanapun, pabila waktu siang, keadaan itu berkurangan dan bapa masih mampu untuk menunggang moto pergi ke surau dan masjid. Namun pabila menjengah minggu ke tiga, keadaan bapaku semakin teruk dan langsung tidak berdaya lagi untuk ke luar rumah, maka kami sepakat memujuk bapa bagi menjalani rawatan di hospital kerajaan. Bapa setuju namun, yang menghairankan ialah pabila pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh doktor mengatakan bapa tiada mempunyai masalah kesihatan. Semuanya dalam keadaan baik, sama ada tekanan darah, jantung mahupun kencing manisnya masih normal. Bapa hanya diberi ubat tahan sakit sahaja.
Kami sekeluarga mula hairan dan khuatir dengan keadaan bapa yang kelihatan semakin kurus, pucat dan lemah setelah hampir sebulan tinggal di rumah itu. Bagaimanapun, keadaan emakku adalah sebaliknya. Emak sihat seperti biasa.
Kami mula curiga bilamana, bapa ada bercerita tentang keadaanya yang mengalami situasi pelik seperti mengalami mimpi yang sama berulang kali pada setiap malam. Bapa risau dengan mimpi itu seolah kemungkinan bapa telah" mengganggu sesuatu" tanpa sengaja. Untuk pengetahuan pembaca, sememangnya semasa kami bermalam di rumah itu, kami mengalami situasi yang agak menghairankan kerana kami terdengar bunyi sesuatu yang jatuh di atas bumbung rumah itu dengan kuat seperti buah kelapa yang gugur ke atas bumbung zink. Bagaimanapun, kami tidak ambil pusing kerana memang terdapat pokok kelapa di tepi rumah itu. Ada masanya pula kami terdengar bunyi seakan bumbung rumah berlaga seperti di tiup angin kencang. Juga kami buat tak kisah kerana beranggapan, rumah yang di tengah sawah tentunya sebegitu keadaanya. Namun ada cerita yang memelikkan kami bilamana bapa sering terganggu tidurnya kerana bunyi bising di atas bumbung waktu malam seolah bunyi cakaran kuku yang tajam. Bapaku beranggapan mungkin terdapat kucing yang mengejar tikus di atas bumbumg sehingga tergelincir dan kukunya mencengkam zink bagi mengelakkannya terjatuh. Bapa kata, boleh dikatakan setiap malam mengalami bunyi itu.
Aku pula pernah terhidu bau air kopi yang harum di tengah hari namun waktu itu kami tidak pun membuat air kopi. Aku cuba mencari bau itu ke dapur dan keliling rumah tetapi tiada berjumpa sebarang air kopi. Aku menjengah ke luar tingkap dan cuba melihat sekeliling sama ada terdapat rumah jiran yang berdekatan sehingga bau itu terasa begitu hampir sekali. Malangnya, senua rumah jiran jarakkya terlalu jauh untuk memungkinkan semua itu. Adikku juga pernah mengalami bau yang menusuk hidung seperti bau orang membakar ikan atau daging. Baunya sungguh menyelerakan dan membuatkan adikku tertanya-tanya dari mana bau itu datang tika tengah malam begini.
Pernah suatu tengahari, sedang semua penghuni rumah berehat dan tertidur setelah kekenyangan makan tengahari, tiba-tiba bapaku yang sedang berbaring melaung dengan kuat,"sapa yang baling batu atas bumbung tu?"Jangan main baling batu, orang nak tidur ni!".Adikku dengan terpinga-pinga menjenguk ke luar untuk melihat keadaan itu. "Pak, mana orang kat luar, semua budak tidur ni! jawab adikku. Bapa terdiam terus.
Oleh kerana kesihatan bapaku tiada perubahan malah kelihatan semakin buruk, aku mengambil keputusan untuk membawa mereka menetap di rumahku dan menjauhkan seketika mereka dari rumah tersebut. Ini kerana kami adik beradik sepakat mengatakan bahawa, kemungkinan orang tuaku tidak rasi tinggal di rumah itu. Alhamdulillah, bapaku tidak membantah lalu mengikut aku pulang ke Teluk Intan untuk sekurang-kurangnya seminggu dua. Dalam pada itu, aku berusaha mencari penawar penyakit bapaku di kawasan kampung tempat tinggalku itu. Bagaimanapun, aku tidak membawa bapaku pergi berubat kerana sebelum ini, bapaku kelihatan seperti tidak percaya sakitnya itu berkaitan dengan makhluk halus.
inilah arwah embah yang berbakat mengurut.
Malam itu, aku ditemani suami pergi meminta air penawar bagi pihak bapaku di sebuah rumah orang tua yang disyorkan oleh penduduk yang tahu mengenai kebolehan orang tua tersebut dalam mengubati penyakit misteri. Setelah menerangkan tujuan kedatangan kami untuk meminta air penawar bagi pihak bapaku, maka orang tua itu mula bertanyakan tentang serba sedikit mengenai bapaku seperti namanya dan keadaan sakitnya. Kulihat orang tua itu mengeluarkan sebilah gunting kecil berbalut kain kuning,lalu berkata-kata dengan seseorang seperti ada orang yang berbual dengannya. Antara soalan yang masih ku ingat ialah, "Mengapa si polan ni sakit. Adakah si polan terkena buatan orang atau gangguan makhluk halus. Makhluk yang bagaimana?..
Dan akhirnya setelah tamat perbualan mereka, orang tua itupun menjelaskan bahawa, bapaku telah di"tegur" oleh sesuatu yang datang menghinggap kat rumah kosong tu.Ianya dari jenis yang menghisab darah...oleh itu, pada waktu malam, demam bapaku menjadi teruk tetapi tidak diwaktu siang kerana menurut orang tua itu..dunia makhluk itu, siang kita adalah malamnya dan malam bagi kita adalah siang baginya!.
Bagaimanapun, air penawar itu aku serahkan pada ibuku dan kami sepakat untuk merahsiakan air itu daripada pengetahuan bapaku .Alhamdulillah, setelah masuk hari ke dua bapaku meminum air penawar itu, dengan izin Allah, keadaan bapaku beransur pulih dan kuat.Akhirnya bapaku sihat seperti biasa dan boleh meneruskan aktivitinya seperti selalu.
Hmmm...jadi, persoalannya...adakah cerita ini boleh dikategorikan sebagai misteri?..Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment