Tuesday, June 10, 2014

LADANG ANGGUR TASIK BERIS KEDAH

Mari dengar ceritaku tentang pengalaman kita orang melawat ke ladang anggur Kuala Beris Kedah baru-baru ini. Sebenarnya,kami menghadiri majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat suami di Sg Petani. Oleh kerana situasi tersebut berlaku dalam musim cuti sekolah, maka kamipun mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dan berehat sebentar di bumi kedah. Kalau ikutkan hati, banyak tempat nak disinggah dan diterokai, namun malas nak sakitkan kepala memikir, aku buat keputusan untuk mengunjungi ladang anggur ini sahaja. Tambahan pula aku yakin ianya masih lagi dalam musim buahnya. Telahanku benar belaka kerana maklumat yang kuterima di sana, dalam masa dua minggu lagi, maka tamatlah musim buah anggur dan kesemua buah itu akan dipetik dan yang tinggal hanyalah pokok anggur yang masih baru dicantas atau baru nak keluarkan bunga dan putik sahaja!.
Perjalanan kami menuju ke ladang anggur ini terasa amat jauh kerana kami bergerak dari Sungai Petani. Menyusuri laluan yang lengang dan kadangkala berliku membuatkan hati tertanya- tanya bilakah akan tiba?.. Hampir menyangka kami tersesat dan berhenti bertanyakan arah kepada penduduk yang terlihat di pinggir jalan. Bukan apa, kalau boleh janganlah perjalanan untuk bersantai ini bertukar muram hanya kerana gagal nencari arah. Aku cuba menggunakan nasihat Waze namun kami dibawa ke arah yang lain!.. 

Seterusnya setelah perjalanan kami menghampiri kawasan ladang, kami tetap juga terbabas sehingga menyeberangi Tasik Beris!... Sedangkan ladang tersebut sebenarnya terletak ditepi kanan  jalan sebelum menaiki jambatan menyeberangi tasik tersebut!. Sekali lagi kami berpatah balik dan barulah bertemu dengan ladang ini.
Laluan pesisir tasik yang indah dan tenang sesuai untuk pengunjung bersantai. Ia juga menjadi lokasi pengambaran pengantin kerana latar belakang pemandangannya yang cantik.

Kehijauan bukit bukau di sepanjang tasik menerbitkan fenomena yang menarik.


Keranuman buah anggur yang menggiurkan sesiapa sahaja yang melihat!. Namun tidak dilupakan, untuk masuk ke ladang ini pengunjung dikenakan bayaran Rm 6.0 untuk dewasa dan. Rm 4.0 untuk kanak-kanak. Sebagai ole-ole atau cenderamata, pengunjung boleh membeli anggur di kedai cenderamata yang disediakan dari buah, pakaian, bahan kosmetik dan cenderamata. Setengah kilo anggur hijau atau hitam dari Rm 13.0 ke 15.0 mengikut jenis. Pengunjung juga diberi peluang merasa sendiri buah anggur tersebut di kaunter bayaran kedai cenderamata sebelum membelinya. Anggur ini ditanam menggunakan kaedah yang sihat tanpa penggunaan racun serangga perosak!.
.


No comments:

Post a Comment