Semalam pagi aku menghadiri satu majlis ilmu yang diabjurkan oleh sekolah anakku khas untuk pelajar mereka yang akan menduduki PMR tidak lama lagi. majlis tersebut ialah Solat Hajat dan bacaan yaasiin yang bermula jam 8.30 pagi. Apa yang menarik mengenainya yang ingin aku kongsikan kepada umum ialah pengisian yang aku dapati dalam majlis tersebut. pada aku, walaupun pengisiannya hanya menyentuh mengenai perkara umum dan biasa -biasa sahaja, namun bagiku ianya amatlah penting sekali. Bukankah sebenarnya perkara dari perkara yang keci-kecil inilah nanti akan menentukan perkara yang lebih besar?
Imam yang mengetuai majlis itu merupakan bekas ustaz yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 35 tahun. Apa yang diutarakan oleh imam ini adalah nasihat dari pandangan matanya sebagai orang lama dan juga sebagai bekas pendidik. Antara perkara yang disentuhnya ialah mengenai tujuan doa dan majlis yang diadakan sebegini selalunya bertujuan memohon kepada tuhan agar anak-anak mendapat keputuan yang baik dalam peperikaan, mendapat hati yang terang dan seterusnya berjaya dalam kehidupan. Namun jarang sekali ibu-bapa memohon supaya anak mereka menjadi anak yang berjaya di akhirat. Ianya menjurus kepada kesilapan guru,ibu-bapa dan masyarakat umumnya yang tidak mementingkan perkara yang tersirat itu. Menurut Iman tadi, inilah antara sebabnya mengapa ramai dewasa ini, anak-anak berjaya dalam akademik tapi tidak dari segi rohani dan sahsiah!. Adalah lebih baik jika kita selaku ibu-bapa itu sendiri yang melakukan solat hajat sentiasa di rumah dan memohon agar anak-anak mereka menjadi anak yang taat pada ibu-bapa,agama,bangsa dan negara berbanding hanya meminta doa sekadar melalui dan mengharap kepada majlis-majlis yang di anjurkan oleh pihak tertentu sahaja.
Ya, pada aku, nasihat itu memang terdapat kewajarannya kerana ramai antara kita yang sering terlupa.
Seterusnya Imam juga ada menyentuh tentang tanggungjawab ibu-bapa yang semakin memandang remeh mengenai didikan anak-anak mereka di rumah. kebanyakan mereka hanya mengharapkan guru-guru di sekolah yang membentuk anak-anak mereka ini, sedangkan hakikatnya mereka terlupa bahawa tugas guru hanya sekadar menyemai, namun yang menjaga dan membajanya sepatutnya ialah kedua ibu dan bapa itu sendiri. Terutama menyentuh tentang bab solat, dimana jarang sekali ibu-bapa menyuruh anak mereka bersolat sejak umur kanak-kanak itu 7 tahun apatah lagi menyebat atau merotan mereka apabila anak itu berumur 10 tahun. Ini yang menyebabkan kebanyakan pelajar masa kini tidak bersolat, liat bersolat dan malah tidak tahu bersolat gara-gara tiada contoh dan penekanan dari ibu-bapa di rumah.
Tambahan pula dalam keadaan dunia sekarang yang dibayangi teknologi canggih, terdapat ibu-bapa yang memanjakan anak dengan memberikan anak mereka telefon sorang satu tanpa mereka pantau kegunaanya dan kandungan dalam telefon itu sendiri. Konon sayangkan anak namun sebenarnya mereka sendiri yang menjahanamkan anak mereka kerana sebahagian besar remaja kini sudah terlebih "advance" melebihi ibu-bapa dan guru itu sendiri tanpa disadari oleh semua pihak tadi. Maklum dewasa ini semuanya berada di hujung jari. Pepatah mengatakan "sayang anak tangan-tangankan. sayang isteri tinggal-tinggalkan rupanya sudah tidak relevan lagi dimasa kini.
Bagaimanapun, Imam tersebut turut memberikan tips dan nasihat yang berguna kepada hadirin, sebagai panduan menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah calon yang mengambil peperiksaan di sarankan membaca selawat 3 kali sebelum membuka/membaca buku, selawat 3 kali selepas membaca buku, selawat 3 kali sebelum melangkah dari rumah, selawat 3 kali sebelum memasuki dewan, selawat 3 kali apabila duduk di kerusi dalam dewan, selawat 3 kali sebelum membuka kertas soalan, selawat 3 kali andai terlupa jawapan (isnyaalah dalam tempoh 20 minit akan ingat semula), selawat 3 kali apabila selesai menjawab dan menghantar kerta jawapan peperiksaan. insyaalah berkat selawat tadi moga-moga akan beroleh kemudahan sepanjang peperiksaan diadakan.
Jam 10.05 pagi keretaku meluncur di jalan raya menuju ke rumah dengan satu perasaan yang sukar digambarkan, mungkin sedikit bimbang dengan apa yang bakal berlaku terhadap generasi yang akan datang nanti......
No comments:
Post a Comment