Sudah lama ingin aku coretkan perasaan yang terbuku terhadap emak selama ini. Mungin kini setelah puluhan tahun barulah dapat aku curahkannya di sini emak.Apa yang ku titipkan ini adalah satu penghargaan dan tanda terima kasihku pada mu emak sebagai orang yang melahirkan dan membesarkan aku dengan caramu sendiri.
Emak, terkenang zaman kecilku,kau ku lihat begitu tabah menjalankan tanggungjawabmu dengan penuh kasih sayang terhadap anak-anak emak yang seramai 9 orang ini. tika itu, kehidupan kita sekadar cukup makan dan tidak pernah bermewah. Emak sangat menjaga kebajikan dan keperluan anak-anak dan suami emak. Sentiasa siang dan malam tidak berhenti ada sahaja kerja yang emak buat untuk kelauarga emak.
Yang istimewanya,, emak selain seorang yang rajin, emak juga cukup bersopan dan menghormati orang lain. Dari perlakuan yang emak tunjukkan, secara diam-diam anakmu ini telah menjadikan mu sebagai idola dalam berinteraksi dengan masyarakat. Emak sangat merendah diri dan pemurah. Tidak ku lupa bilamana tika waktu kecilku, terdapat peminta sedekah yang tua sering datang meminta beras, dan emak langsung tidak pernah menghampakan peminta sedekah itu walaupun sekali.hinggakan aku menitiskan air mata pabila melihat peminta sedekah itu berdoa keharuan di atas pemberian emak. Peristiwa itu sungguh berbekas di hatiku mak.
Waktu kecil dulu, seringkali sebelum tidur, emak akan bercerita tentang kisah zaman kecil emak. Saat itu masih segar sehingga kini. Aku amat terharu dan sungguh bersimpati dan adakalanya sehingga menangis pabila mendengar cerita tentang kepayahan yang emak tanggung sewaktu kecil pabila emak hanya bergantung harap dan kasih sayang terhadap kakak emak selain saudara mara emak yang rata-ratanya bukan orang senang. Seawal 6 -7 tahun, emak hanya mengharapkan ibu tiri untuk menjaga emak, sedangkan pada watu yang sama, emak turut terpaksa menjaga adik-adik tiri emak. Kehidupan emak bersama emak tiri, cukup menginsafkan aku yang tika itu sangat bersyukur kerana masih punya emak kandung sepanjang membesar ini.
Emak, perkara yang paling aku sanjungi dan aku hargai apabila selama emak membesarkan anak-anak emak yang 9 orang ini, sekali pun emak tidak pernah meletakkan tangan emak pada tubuh badan kami. Emak tak pernah pukul mahupun jentik anak-anakmu ini walaupun kadangkala anak-anakmu ini membuat nakal. Sesungguhnya emak..Itulah antara perkara yang tidak mampu untuk aku tiru!. Emak hanya menasihati dan beritahu apa yang emak rasa dan harap kepada anak-anak emak dengan cara yang berhemah. Emak tidak pernah menengking mahupun meninggi suara!. Oh, Hebat sungguh emak.
Sehinggalah kini, kesopananmu terus kekal sehinggakan pada yang tidak mengenali emak akan menyangka emak seorang yang pendiam, hakikatnya emak sangat merendah hati.
Emak sangat berseni orangnya, emak pandai mengayam tikar mengkuang, emak pandai membuat bakul dari pokok bemban, malah emak pandai membuat apam balik setiap pagi untuk sarapan anak-anak emak. Emak juga sebenarnya mempunyai suara yang merdu dan mendayu pabila berlagu. Emak selalu membuatkan anak emak bola dan bakul dari daun kelapa tika mana emak meraut penyapu lidi dari daun kelapa itu.Sungguh, emak sangat kreatif orangnya. malangnya tiada satupun kemahiran emak yang terwaris kepada anaknya.
Emak juga bagiku sangat terang hatinya. Bayangkan, emak tidak pernah bersekolah, malah tidak pernah tahu memegang pen atau pensel. Namun pabila emak mengikuti kelas dewasa, emak cepat sekali memahami dan mengerti cara mengeja serta membaca. Sehingga kini, emak tahu membaca jawi mahupun rumi walaupun emak langsung tak tahu menulis!.
Emak, terlalu banyak dan terlalu panjang jika inginku tuliskan segala-galanya tentang emak. Namun cukuplah sekadar yang dapat ku coretkan di sini, bahawa kasih sayang dan jasa emak langsung tidak pernah terbalas olehku. Niat di hati ini ingin membuatkan kau bahagia, namun aku percaya...emak cukup tenang dan gembira bilamana semua anak-anak emak telah berjaya meneruskan kehidupan masing-masing dengan cara masing-masing dan emak tidak perlu memikirkanya lagi.
Aku percaya, semuanya ini adalah berkat doa emak terhadap anak-anak emak. Emak, sesungguhnya, tiada kata yang dapat menjelaskan harapan dan terima kasih anakmu ini terhadap emak, tiada lukisan yang boleh menggambarkan keberhutangan budi anak-anak emak terhadap emak, tiada tulisan yang boleh menterjemahkan tinggi luhur budimu emak terhadap keluarga emak dengan seribu satu semangat dan kesabaran, ketabahan, ketulusan dan kasih yang sejati yang emak curahkan terhadap ku.
Emak, ampun dan maafkanlah anakmu ini yang dhoif dan selalu membuatkan kau terluka.. Tiada yang dapat menandingi budi dan jasamu emak kerana melahirkan aku ke dunia ini. Aku berdoa agar kau diberi rahmat dan pengampunanNya. semuga hidupmu penuh dalam keberkatan Ilahi. Panjangkan umur mu,berilah kesihatan yang baik untukmu.
No comments:
Post a Comment