Bersamaan dengan sambutan hari guru yang bakal menjelang 16 Mei 2011 ini, amatlah bersesuaian saya meluahkan apa yang saya lihat dan pendamkan selama ini berkenaan dengan situasi arah sikap remaja dewasa ini. Semuga ianya menjadi perhatian para guru amnya dan perhatian ibu bapa serta pemikir dan pemimpin serta ahli akademik yang bijaksana.
Amat sukar juga untuk mencari kata mula bagi meluahkan apa yang menjadi kerunsingan saya selama ini kerana selain terlalu banyak perkara yang bersarang,saya juga khuatir luahan ini sekadar penghias skrin blog saya lantaran tidak ada sebarang keberkesanan langsung untuk di ambil sebarang tindakan yang dianggap perlu.
Biarlah saya mulakan dengan menyentuh sikap remaja kini yang rata-rata tidak lagi mempunyai kualiti sikap terpuji,mereka tiada lagi mempunyai sikap malu dalam diri. Selain itu, kebanyakan remaja kini amat kurang perasaan menghormati, santun, dan merendah diri. Kebanyakan mereka sering menunjukkan sikap yang berlawanan dengan sikap yang saya sebutkan tadi. mereka terlalu bebas, bercakap kasar, mencarut, panas baran, suka bergaduh, suka merendah dan mengejek-ngejek dan banyak lagi yang tidak sepatutnya diamalkan oleh golongan remaja yang belia baik lelaki mahupun perempuan.
Bercakap dengan guru, kini tidak lagi berlapik atau berhemah, malah bercakap mengikut selera, mereka umpakan guru sebagai kawan. begitu juga apabila bertutur dengan golongan yang lebih dewasa atau tua, mereka selamba sahaja menggunakan bahasa pasar mereka yang tidak berlapik itu. memang remaja digalakkan untuk bergaul mesra dengan orang tua mahupun guru, namun sepatutnya mereka mempunyai sempadan dan tahu batas diri serta bijak menggunakan perkataan yang sesuai. Begitu juga dengan pergaulan remaja sekarang yang rata-rata tidak mempunyai had batas antara lelaki dan perempuan. Mereka mengambil ringan soal halal haram dan batas pergaulan dalam masyarakat. Perlukah ibu bapa, masyarakat dan institusi pendidikan di pertanggungjawabkan mahupun dipersalahkan dalam isu ini?.
Mari renung semula mengapa gejala bohsia, mengandung luar nikah, buang anak, rempit, dadah, mabuk, gro dan sebagainya berlaku?.
Pada saya, punca asal sikap remaja kini yang terlalu bebas dan mengejar keseronokan, ianya disebabkan mereka ini terlalu dangkal dan miskin dalam pengetahuan agama. Mungkin juga ramai yang akan protes perkara ini, namun jika setakat belajar agama tanpa penghayatan apa maknanya?.Ramai yang mengaku berpendidikan agama namun benarkah mereka memahami setiap tuntutan agama itu sendiri? usahlah menuding kepada remaja sahaja, malah saya percaya, golongan dewasa dan orang tua juga sebenarnya masih ada yang kurang pemahaman dan penghayatan mengenai kehendak agama itu sendiri.
Setakat menanam pendidikan agama di awal pendidikan dari darjah satu sehingga darjah 6 di sek agama rendah pada waktu petang untuk mempelajari asas agama, adakah ianya benar-benar mencukupi?.Belajar fekah, tauhid, sirah dan lainnya di sekolah rendah, adakah ianya mencukupi untuk dijadikan pegangan hidup?.jawapan saya TIDAK!.Tidak mencukupi!.Kemana arah pelajar ini apabila mereka menaiki ke peringkat menengah? Bukan tidak ada pelajaran agama sewaktu di sekolah menengah, namun adakah ianya mencukupi untuk kita membentuk sahsiah murid ini ? Sekolah menengah masih tidak mampu untuk membentuk dan menyemai mereka dalam penghayatan terhadap pemahaman agama itu sendiri.Lantaran mereka tidak mempunyai cukup waktu untuk melakukan amali serta mempraktis tajwid dalam pembacaan Al-Quran. Jika boleh, kita mahukan penghayatan dalam agama ini diamalkan dalam kehidupan mereka dari segenap segi, sama ada segi pergaulan, percakapan, pemikiran dan sebagainya.
Berapa keratkah sekolah agama yang ada dalam setiap negeri di negara ini?.Di perak sahaja,sebagai contoh, sekolah agama bantuan kerajaan di dalam daerah Hilir perak cuma ada satu, dan Daerah Manjung juga cuma ada sebuah. Sedangkan, amat ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah aliran agama ini tercari-cari sekolah yang mahu menerima anak mereka terutama bagi pelajar yang berpencapaian sederhana . Ini kerana, murid yang pencapaiannya tinggi sahaja yang boleh menembusi sekolah aliran agama yang ditubuhkan oleh kerajaan . Lebih memburukkan lagi keadaan adalah bilamana murid dari aliran menengah tidak akan diterima untuk bertukar ke sekolah beraliran agama!..sedangkan, tujuan ibubapa menukarkan aliran anak mereka adalah kerana inginkan pendidikan agama diajarkan kepada anak mereka!
Memang ada sekolah swasta yang menawarkan pendidikan aliran agama namun, masalah pembekalan tenaga pengajarnya yang sering bertukar ganti dan tidak tekal merupakan punca ibu bapa berat hati untuk memilih sekolah ini. Selain itu, ianya memerlukan kos yang lebih tinggi berbanding sekolah bantuan kerajaan. Soalnya, berapa keratkah yang mampu dan kaya untuk menghantar anak2 mereka ke sekolah sebegini?akibatnya,ramai penjaga dan ibubapa berserah sahaja dan menghantar anak mereka ke sekolah aliran biasa yang kebanyakan fenomenanya sekarang lebih menumpukan kepada peperiksaan dan penekanan kepada subjek yang wajib lulus sahaja. Mengapa pelajaran agama di sekolah rendah tidak dijadikan sebagai matapelajaran wajib lulus?.Sedangkan itulah asas kepada pembentukan tiang agama, bangsa dan negara?.
Saya masih berpendapat, pendidikan agama yang teguhlah yang akan mampu merubah sikap remaja kita dewasa ini menjadi lebih berjati diri dan mempunyai nilai murni yang tinggi dalam diri mereka. Bukan menidakkan faktor luaran yang lain yang menyumbang kepada gejala moral remaja kini, namun tanpa didikan agama yang teguh, amali dan amalan yang berterusan, mereka tidak akan mempunyai pendinding diri yang kuat untuk menepis cabaran dan dugaan serta godaan dari faktor luaran itu tadi.
Penyelesaian terbaik, saya berharap agar kerajaan dan mereka yang bertanggungjawab serta agensi yang berkenaan, agar wujudkanlah lebih banyak lagi sekolah-sekolah aliran agama di peringkat menengah di negara ini. Tolonglah bersikap sayangkan remaja dengan memberikan didikan agama kerana agamalah sebenarnya yang akan mengajarkan mereka menjadi lebih berjaya kerana agama itu sendiri menggalakkan penganutnya untuk menuntut ilmu dunia dan akhirat tiada beza. Hanya mereka yang berpegang kepada paksi pendidikan agama dan penghayatan dalam agama yang akan mampu menjadi warga yang cemerlang serta mengurangkan gejala rasuah, jenayah, dan sebagainya kerana mereka akan sentiasa ingat kepada dosa dan pahala, neraka serta syurga. Jika pun mereka tersalah langkah, mereka ini masih mampu untuk kembali ke pangkal jalan kerana selagi mereka percaya kepada agama mereka.
No comments:
Post a Comment